Monday 28 December 2009

Pengaplikasian Amalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di Sekolah Kebangsaan Kampong Jawa, Segamat

Oleh: Ziham Zawawi Bin mazlan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merupakan teras kepada sistem pendidikan di Malaysia sejak 1988. Untuk maklumat, FPK telah distruktur berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan berlandaskan ideologi kebangsaan yang menerapkan Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (Choong, 2008). Pada 23 Mac 2009 hingga 27 Mac 2009 yang lalu, penulis berkesempatan untuk mengalami pengalaman menyertai program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) atau juga dikenali sebagai School Based Experience (SBE) yang dianjurkan oleh Bahagian Pengambilan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Melalui kesempatan ini penulis telah mengkaji tentang perancangan dan pelaksanaan FPK disebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kampong Jawa yang terletak di Segamat, Johor. Sekolah ini merupakan sekolah gred A dan mempunyai dua sidang iaitu sidang pagi dan sidang petang . Sekolah yang terletak tiga kilometer dari Pejabat Pelajaran Daerah Segamat merupakan sebuah sekolah yang menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka berikutan prestasi akademik dan kokurikulum yang memberangsangkan saban tahun .

Berdasarkan pemerhatian penulis, kajian tentang pelaksanaan FPK di sekolah tersebut boleh dibahagikan kepada empat sektor iaitu kelompok pengurusan dan organisasi sekolah, kelompok prasarana sekolah, kelompok kurikulum dan kelompok program dan aktiviti. Kelompok aspek yang pertama iaitu pengurusan dan organisasi sekolah di SK Kg. Jawa sememangnya berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Frasa “... rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat ” yang terdapat dalam FPK jelas ditonjolkan melalui kepimpinan organisasi dan pengurusan sekolah. Sistem pengurusan SK Kg. Jawa yang diterajui guru besarnya, En. Md Salehan Bin Jaafar dengan jelas telah melaksanakan dasar-dasar yang telah dibuat oleh kerajaan. Sebagai contoh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Program 3K (Kerjasama KPM, Kumpulan Utusan dan Tetra Pak Malaysia) , Program Sekolah Selamat , Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah dan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi sekolah (seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia). Teraju organisasi sekolah yang dianggotai kepimpinan yang berlainan bangsa dan jantina juga jelas menunjukkan proses pemupukan perpaduan rakyat melalui guru sebagai role-model dan persamaan taraf antara lelaki dan wanita . Selain itu, jumlah guru dan kakitangan seramai 60 orang banyak membantu guru besar dalam menguruskan murid seramai 860 orang .

Prasarana sekolah sememangnya menjadi agenda utama bagi setiap kelompok kepimpinan yang menguruskan sesebuah sekolah. Prasarana yang baik dan sempurna akan membantu merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui frasa “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani...” dan frasa “...usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat, dan negara”. Prasarana yang baik dan sempurna amat penting agar proses P&P murid-murid tidak akan terganggu sebaliknya mampu membantu murid untuk memperkembangkan lagi diri mereka terutama dari aspek intelek.

Prasarana yang terdapat di SK Kampong Jawa sememangnya lengkap dan amat bersesuaian untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan berkualiti. Sebuah bangunan khas untuk dua buah Makmal Komputer yang lengkap dengan komputer dan wayerles mampu menjana penggunaan teknologi maklumat dan ICT dalam proses pembelajaran. Hal ini sememangnya benar, apabila penulis sendiri melihat murid-murid menggunakan waktu rehat mereka untuk membuat soalan latihan yang terdapat di internet. Murid-murid itu sendiri sudah mengetahui laman web mana yang harus dibuka atas tunjuk ajar guru-guru mereka. Selain Makmal Komputer, Makmal Sains yang dilengkapi dengan peralatan-peralatan sains serta mural-mural seperti gambar plane-planet yang terdapat di Galaksi Bima Sakti dan sebagainya membantu menarik minat murid-murid untuk mempelajari subjek sains.

Pusat sumber yang dilengkapi buku-buku rujukan UPSR, buku-buku fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sememangnya mampu untuk menggalakkan murid untuk menanam minat untuk membaca. Namun, sewaktu penulis tiba untuk melawat perpustakaan, keadaan di situ agak bersepah kerana kerja-kerja pengubahsuian telah dilakukan beberapa hari sebelum penulis tiba. Selain perpustakaan, antara tempat lain yang mampu untuk menambahkan ilmu pengetahuan murid-murid di SK Kg. Jawa ialah seperti Sudut Bacaan yang terdapat di setiap kelas, sebuah waqaf sumbangan PIBG SK Kg. Jawa yang dinamakan Waqaf Ilmu yang mana mengandungi Sudut J-Qaf dan Sudut Bacaan, kantin yang ditepekkan nota-nota di atas mejanya dan sebuah sudut sains yang terletak di hadapan Makmal Sains yang mampu menarik minat murid untuk mempelajari subjek Sains.
Sekolah ini bukan sahaja mengutamakan bidang akademik malah juga menumpukan pada aspek kokurikulum dalam usaha untuk membangunkan aspek jasmani murid-murid. Oleh hal itu, prasarana berkaitan aktiviti kokurikulum yang lengkap sememangnya telah disediakan di SK Kg Jawa, antaranya ialah sebuah padang pelbagai guna (juga padang bola sepak), sebuah gelanggang badminton terbuka, sebuah gelanggang bola tampar dan sebuah gelanggang bola jaring. Selain prasarana-prasarana di atas, murid-murid yang masih kecil seperti pra-sekolah dan tahap 1telah disediakan pihak sekolah dengan dua buah kawasan permainan yang dilengkapi dengan jongkang-jongkit, buaian, gelongsor dan sebagainya.

Selain kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk pembelajaran murid dan aktiviti kokurikulum, pihak sekolah juga amat menitik beratkan tentang aspek-aspek kecerian dan keselamatan. Hal ini terbukti apabila sekolah ini telah menyertai Program Keindahan Keceriaan dan Alam Sekitar Sekolah (Program 3K) . Program ini merupakan projek usahasama antara pihak sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, Kumpulan Utusan dan Tetra Pak Malaysia. Visi utama projek ini adalah untuk melahirkan generasi berkeperibadian yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek menjelang 2020. Untuk itu, pihak sekolah telah berusaha untuk meningkatkan tahap keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah dengan melaksanakan pelbagai aktiviti. Antaranya ialah program melukis mural yang dijayakan oleh guru dan murid-murid, kata-kata hikmah yang ditampal di dinding-dinding dan di gantung di susur gajah, penanaman pokok-pokok bunga renek oleh kontraktor yang telah dipilih dan ‘maintenance’ kebersihan kawasan sekolah dengan pelantikkan kontraktor yang membawa masuk pekerja yang akan memastikan kebersihan kawasan sekolah.
Dari aspek keselamatan, pihak sekolah telah melantik dua orang pengawal keselamatan yang akan bertugas secara bergilir-gilir di sebuah pos pengawal yang telah dibina di hadapan kantin. Pengawal keselamatan ini bukan sahaja memastikan keselamatan kawasan sekolah malah memastikan keselamatan murid-murid ketika pada awal pagi murid-murid berpusu-pusu ke sekolah dan ketika murid-murid pulang dari sekolah. Pengawal keselamatan itu juga ditugaskan untuk membantu murid-murid melintas jalan dengan mengawal aliran trafik di hadapan kawasan sekolah. Aspek keselamatan daripada bencana kebakaran juga dititikberatkan oleh pihak sekolah. Hal ini dibuktikan apabila setiap aras blok dan bilik-bilik khas diletakkan alat pemadam api manakala pelan kebakaran bagi “fire drill” diletakkan disemua kelas dan tempat-tempat strategik . Untuk kemasukan pelawat, mereka dikehendaki berjumpa dengan Guru Besar dahulu untuk berurusan dengan para guru atau murid-murid.
Bilik darjah merupakan kemudahan infrastruktur yang paling penting bagi sesebuah sekolah. Disebabkan jumlah murid yang ramai di SK Kg. Jawa iaitu seramai 852 orang murid dan kelas yang tidak mencukupi, sesi akademik diadakan pada dua sidang iaitu sidang pagi dan sidang petang. Murid yang menghadiri sidang pagi adalah murid-murid pra-sekolah, darjah 1, 4, 5 dan 6 manakala sidang petang pula dihadiri oleh murid-murid darjah 2 dan 3. Namun hal ini tidak menghalang murid-murid untuk belajar dan mengikuti proses P&P. Hal ini diyakinkan dengan setiap sudut di dalam bilik darjah terutama di papan kenyataan di setiap kelas dipenuhi dengan nota-nota, cerita-cerita pendek, gambar-gambar menarik, jadual waktu, jadual bertugas, Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta pelbagai lagi maklumat yang mampu menjana pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar.

Aspek ketiga yang ingin penulis gunakan untuk menghurai tentang amalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di SK Kg. Jawa adalah dari aspek kurikulum. Menurut Kerr (dalam kelly, 1993;199) kurikulum merupakan semua pembelajaran yang dirancang oleh institusi pendidikan dan dilaksanakan sama ada kelompok atau individu, di dalam atau di luar bilik darjah. John Dewey (1916) pula menggariskan kurikulum dalam bukunya bertajuk Democracy and Education sebagai berperanan memperjuangkan pembentukan semula masyarakat.
Oleh hal yang demikian, untuk tujuan pembentukan semula masyarakat Malaysia “...yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara” seperti yang tertulis dalam FPK, kurikulum yang mempunyai sukatan pelajaran yang bersesuaian dengan budaya, agama dan adat resam tempatan yang dikeluarkan oleh Pusat Pengembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diguna pakai oleh warga pendidik di SK Kg Jawa dalam melaksanakan P&P. Kesemua subjek yang diajar di SK Kg Jawa mempunyai sukatan yang bertujuan untuk membangunkan modal insan yang terdapat di kawasan sekitar SK Kg Jawa.

Buku rekod pengajaran guru merupakan antara medium yang digunakan oleh guru besar dalam usaha memantau dan memastikan agar setiap apa yang diajar oleh para guru adalah mengikut sukatan pelajaran yang telah diberikan oleh PPK, KPM. Selain sumber pengajaran yang didasarkan pada sukatan pelajaran yang dikeluarkan oleh PPK, KPM, pihak sekolah juga menggalakkan agar para guru menggunakan bahan bantu mengajar dan alat bantu mengajar ketika proses P&P agar pembelajaran menjadi menarik dan murid akan menjadi minat untuk belajar. Antara alat bantu mengajar yang disediakan pihak sekolah untuk digunakan oleh warga pendidik untuk menjalankan proses P&P adalah seperti LCD Projektor, laptop (untuk guru-guru Sains, Matematik, bahasa Inggeris dan pemulihan), glob, radio, televisyen dan pelbagai lagi alat bantu mengajar dan bahan bantu mengajar yang telah disediakan oleh pihak sekolah melalui peruntukan-peruntukan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Dari aspek murid pula, mereka diberikan bahan bantu belajar dan alat bantu belajar yang bersesuaian. Sebagai contoh, untuk tahun 2008 yang lepas pihak PIBG telah membelanjakan sebanyak RM24,496.02 untuk buku tulis, buku kerja dan lembaran kerja murid .

Kokurikulum merupakan antara agenda utama di SK Kg Jawa. Melalui penubuhan pelbagai jenis persatuan, kelab-kelab permainan dan unit-unit beruniform, murid-murid diberi ruang dan peluang untuk menonjolkan bakat dan mengasah bakat tersebut ke peringkat yang paling tinggi. Antara unit-unit beruniform yang terdapat di SK Kampong Jawa ialah Pengakap, Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Puteri Islam, Tunas Puteri dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Terdapat juga persatuan-persatuan akademik seperti Persatuan Sains dan Matematik, Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris dan persatuan atau kelab bukan akademik seperti Kelab Badminton, Kelab Bola Sepak, Kelab Hoki, Kelab Tenpin Boling dan sebagainya yang menjadi pilihan murid-murid untuk mengasah minat dan bakat mereka.
Program Pemulihan yang telah lama wujud di SK Kg Jawa merupakan satu langkah atau agenda yang diguna pihak sekolah untuk mengatasi masalah keciciran penguasaan 3M dan pelbagai lagi masalah pembelajaran dalam kalangan murid-murid SK Kg. Jawa. En Azmi Bin Othman telah dipertanggungjawabkan untuk mengelolakan dan menguruskan Kelas Pemulihan dengan menjalankan aktiviti di sebuah bilik darjah khas untuk murid-murid pemulihan khas. Aspek disiplin juga amat dititikberatkan di sekolah ini. Di bawah kepimpinan En. Teh Cheng Chuan, beberapa jawatankuasa telah dibentuk untuk memastikan disiplin murid adalah dalam keadaan yang baik dari segala sudut dan aspek .

Aspek keempat yang ingin penulis gunakan untuk menghurai tentang amalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di SK Kg. Jawa adalah dari aspek pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum. Lapangan kurikulum yang diketui oleh Guru Penolong Kanan 1 SK Kg Jawa, En Mohd Khamis Bin Mohd Yasin dan bidang kokurikulum yang diketuai oleh Guru Kanan Kokurikulum, Puan Sharinah Binti Ismail@Sharif sememangnya merupakan dua jenis bidang yang sangat dititikberatkan oleh pihak pengurusan sekolah dari semua aspek. Hal ini juga disokong oleh pihak PIBG SK Kg Jawa yang memberikan 100% sokongan kepada pihak sekolah untuk membangunkan potensi diri murid-murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek melalui sumbangan-sumbangan dari segi pelbagai bentuk yang telah diberikan .

Pelbagai program dan aktiviti kurikulum telah dirangka, disusun dan diadakan semata-mata untuk meningkatkan dan memperkembangkan lagi aspek intelek murid-murid. Selain itu, sebuah jawatankuasa khusus telah dibentuk saban tahun untuk menjaga aspek kurikulum di SK Kg Jawa . Sebagai contoh, pihak SK Kg Jawa telah mengadakan aktiviti-aktiviti seperti Program Kecemerlangan UPSR (Julang – Cahaya Enam 2009) khusus untuk memantapkan murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, Program 10 Minit Bersama Buku , Anugerah Banyak Membaca, kuiz-kuiz berkala yang diadakan mengikut tema, Program NILAM, Minggu Membaca, Kursus Motivasi Pelajar UPSR, kelas tambahan malam untuk murid tahun 6 , Program Zoom A (Projek Komputer dalam Pendidikan) dan pelbagai aktiviti lain yang bertujuan untuk meningkatkan dan memperkembangkan lagi aspek intelek murid-murid di SK Kg. Jawa.

Di bawah kepimpinan Puan Sharinah Binti Ismail@Sharif yang merupakan GPK Kokurikulum SK Kg Jawa , pelbagai program dan aktiviti kokurikulum telah dirangka, disusun dan dilaksanakan bagi meningkatkan dan memperkembangkan aspek jasmani murid-murid di SK Kg. Jawa. Hal ini amat penting kerana otak yang cerdas adalah kerana badan yang cergas. Mendukung FPK yang menjadi tulang belakang sistem pendidikan di Malaysia, sebuah jawatan kuasa induk yang mengawal, merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti kokurikulum telah diwujudkan saban tahun. Antara aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah ialah Program Sukan Tahunan Sekolah, Perkhemahan Unit-unit Beruniform, Hari Kokurikulum, Sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun dan pelbagai lagi aktiviti kokurikulum yang mampu untuk meningkatkan aspek jasmani murid-murid.

Bagi aspek rohani pula, pihak sekolah dengan kerjasama PIBG, Masjid An-Nur, Kg. Jawa dan beberapa organisasi lain telah bahu-membahu untuk membangunkan dan mengisi aspek kerohanian murid-murid di SK Kg Jawa. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan ialah Majlis Sembahyang Hajat yang diadakan setiap tahun di Masjid An-Nur, Kg Jawa, Kursus Keibubapaan Pelajar Murid Tahun 6, Majlis Membudayakan Al-Quran yang diadakan setiap pagi Jumaat untuk murid-murid darjah 1 hingga 5, Majlis Bacaan Yasin untuk murid darjah 6 pada setiap pagi Jumaat dan berbagai-bagai lagi aktiviti yang bertujuan untuk mengisi aspek rohani murid-murid di SK Kg. Jawa.

Selain pihak sekolah, pihak PIBG juga merupakan antara organisasi yang sangat bekerjasama secara kolaboratif dan bekerja keras dalam memastikan amalan FPK dijadikan panduan dan acuan dalam membentuk generasi baharu yang fizikalnya sangat kental dan kuat dalam menghadapi cabaran dan dalamannya sangat subur dengan nilai-nilai murni agama, budaya dan adat resam warisan bangsa. Tamsilannya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa SK Kampong Jawa merupakan sebuah institusi pendidikan rendah yang mendukung Falsafah Pendidikan Kebangsaan demi merealisasikan impian dan hasrat negara bangsa Malaysia. Hal ini terbukti melalui 10 misi sekolah ini yang mana antaranya adalah untuk meningkatkan usaha membangunkan modal insan .

No comments:

Post a Comment