Monday 28 December 2009

Guru dapat mengembangkan dan memupuk kemahiran berbahasa melalui main peranan, main simbolik atau sosiodrama

Menurut Vygotsky bahasa merupakan alat utama untuk interaksi sosial, pemindahan budaya dan menjana pemikiran individu. Kanak-kanak juga menggunakan bahasa untuk meluahkan kehendak dan keperluan. Oleh hal itu, perkembangan kemahiran berbahasa kanak-kanak haruslah dijadikan salah satu objektif pembelajaran oleh guru-guru dalam proses pembelajaran di dalam kelas.

Menurut kajian, pelbagai cara boleh digunakan oleh para guru untuk mengembangkan dan memupuk kemahiran berbahasa kanak-kanak semasa proses P&P di dalam kelas. Antaranya ialah melalui main peranan, main simbolik atau sosiodrama. Main peranan atau pretend play merupakan salah satu aktiviti yang sering dilakukan oleh kanak-kanak sejak mereka berusia 2 atau 3 tahun lagi. Oleh hal itu, tugas guru semasa di dalam bilik darjah adalah menggunakan aktiviti ini sebagai salah satu instrumen dalam aktiviti pengajaran. Sebagai contoh, seorang guru subjek Sivik & Ketatanegaraan yang ingin mengajar anak muridnya tentang nilai-nilai murni seperti kasih sayang, tolong menolong dan bekerjasama boleh menggunakan aktiviti main peranan bagi memberi gambaran kepada nak muridnya tentang apa itu kasih sayang, apa itu nilai tolong menolong dan apa itu nilai bekerjasama. Melalui aktiviti main peranan juga guru boleh mengembangkan kemahiran berbahasa kanak-kanak melalui pertambahan perbendaharaan kata kanak-kanak. Semasa kanak-kanak melakukan aktiviti ini, peranan guru adalah sebagai fasilitator yang akan membantu kanak-kanak dengan kosa kata – kosa kata yang baharu.

Main simbolik juga merupakan salah satu cara yang berkesan untuk membantu perkembangan dan pemupukan kemahiran berbahasa dalam kanak-kanak semasa di dalam bilik darjah. Main simbolik memberikan peluang kepada kanak-kanak mempamerkan kreativiti, kebolehan fizikal dan kesedaran sosial. Main simbolik juga termasuk sosiodrama yang melibatkan situasi-situasi tertentu seperti peranan orang dewasa dan persekitaran yang pernah dilalui atau diperhatikan oleh kanak-kanak. Menurut Christensen dan Kelly (2003), sebagaimana dipetik oleh Alice Wiggins, University of Virginia, main simbolik dapat meningkatkan penggunaan bahasa, membantu kanak-kanak mencapai pemahaman baharu dan seterusnya menghasilkan perkembangan diri serta pembelajaran yang bermakna. Semasa proses aktiviti main simbolik dilaksanakan kanak-kanak akan berinteraksi antara satu sama lain dan hal ini akan membawa kepada perkembangan bahasa yang sihat yang mana kanak-kanak akan melakukan perkongsian kosa kata yang mana mereka akan memperbetulkan bahasa antara satu sama lain. Hal ini akan menjadikan proses pembelajaran di dalam bilik darjah akan menjadi lebih berkesan dan bermakna.

No comments:

Post a Comment