Sunday 27 December 2009

Cikgu Najib: Guru Sains yang berkaliber dan berwawasan.

Oleh: Ziham Zawawi Bin Mazlan

Encik Mohd Najib Bin Sapari memang sudah tidak asing lagi di Sekolah Kebangsaan Kampong Jawa, Segamat. Beliau telah berkhidmat di sekolah tersebut selama hampir 13 tahun sebagai guru sains sejak 1997 lagi. Kini beliau memegang jawatan sebagai guru panitia bagi subjek sains dan menjadi tempat rujukan bagi murid-murid dan guru-guru Sains yang lain untuk bertanya dan mendapatkan nasihat.

Sebagai seorang guru dan bapa kepada dua orang anak, sudah menjadikan kewajipan baginya untuk menjalankan semua tanggungjawab yang dipikulnya dengan penuh rasa amanah dan kejujuran. Sebagai seorang guru sains di Sekolah Kebangsaan kampong Jawa, Segamat tanggungjawab beliau bukan sahaja menjadi guru yang semata-mata mengajar subjek sains di dalam kelas malah juga banyak menyumbang ke arah melahirkan insan yang harmoni dan seimbang.

Amalan kurikulum merentas subjek sememangnya menjadi amalannya. Sebab yang memungkinkan perkara ini terjadi ialah majoriti murid-murid sekolah ini adalah datangnya dari keluarga yang bermacam-macam. Ada yang datang dari keluarga yang berada. Ada juga yang merupakan anak kepada penoreh getah dan ada juga yang tiada ibu bapa malah menumpang rumah nenek mereka. Oleh itu, melalui amalan kurikulum merentas subjek itu, En. Najib bukan sahaja dapat mengajar subjek sains malah memasukkan nilai-nilai murni dalam proses P&Pnya sekaligus dapat membentuk semula masyarakat menjadi sebuah masyarakat yang dapat tolong menolong antara satu sama lain dan mewujudkan bangsa Malaysia yang penuh dengan adat resam dan nilai-nilai murni.

Beliau juga merupakan seorang yang menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Beliau tahu bahawa matlamat pendidikan kebangsaan bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran intelek murid-murid malah untuk meningkatkan dan memperkembangkan kesemua aspek seperti jasmani, emosi dan rohani.
Beliau merupakan seorang guru yang amat meminati sukan. Beliau sering menggalakkan anak-anak muridnya untuk menyertai pemilihan-pemilihan pasukan sekolah atau pertandingan-pertandingan sukan di luar. En. Najib sendiri aktif dalam sukan bola tampar, bola baling dan sebagainya. Maka tidak hairanlah jika beliau selalu menggalakkan anak-anak muridnya dalam bidang sukan agar dapat meningkatkan aspek jasmani murid-murid selari dengan FPK. Untuk memperkembangkan aspek jasmani murid-murid, sukan bukan hanya carnya sahaja, terdapat banyak lagi aktiviti di luar bilik darjah yang mampu untuk memperkembangkan aspek jasmani murid-murid seperti yang dilakukan oleh En. Najib iaitu aktiviti perkhemahan, kembara hutan, aktiviti pasukan unit beruniform dan aktiviti kemasyarakatan seperti membersihkan kawasan kampung, membersihkan rumah penduduk selepas banjir pada hujung 2006 yang lalu, membersihkan balai raya kampung dan sebagainya. Dengan cara itu, beliau bukan sahaja dapat memperkembangkan aspek jasmani murid-murid malah dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak.

Dari aspek kerohanian, beliau juga merupakan salah seorang guru yang sangat menjaga aspek kerohanian murid-murid di SK Kampong Jawa. Beliau terlibat dalam aktiviti-aktiviti kerohanian di sekolah ini seperti Majlis Membudayakan Al-Quran yang diadakan setiap minggu, bacaan yasin murid darjah 6 setiap pagi Jumaat, Majlis Restu UPSR yang diadakan setiap tahun, Majlis Maulidur Rasul yang juga diadakan setiap tahun dan pelbagai lagi aktiviti kerohanian yang telah, sedang dan bakal dilaksanakan bagi memastikan perkembangan aspek kerohanian murid-murid SK Kampong Jawa berjalan lancar tanpa gangguan anasir-anasir tidak elok.

Memperkembangkan aspek emosi kanak-kanak merupakan satu aspek yang agak sukar kerana ianya memerlukan kemahiran yang profesional. Namun, En. Najib mampu untuk menguruskan hal ini. Berbekalkan pengalaman mengajar selama hampir 13 tahun, beliau mampu untuk menenangkan murid yang mengalami tekanan emosi. Hal ini terbukti apabila pada tahun 2001, seorang anak muridnya menghadapi tekanan hidup apabila ibunya tiba-tiba meninggal dunia dan ayahnya pula kemalangan dan lumpuh sebahagian badan. Anak muridnya itu yang mempunyai seorang adik hampir menjadi gila kerana tekanan masalah-masalah yang datang bertubi-tubi. Namun, atas usaha En. Najib yang mempunyai kemahiran untuk menguruskan masalah emosi murid-murid, anak muridnya tersebut berjaya dipulihkan dan kini sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Begitulah perihalnya En. Najib, walaupun sibuk menjadi seorang ayah dan guru kepada berpuluh-puluh murid, namun beliau mampu untuk mengaplikasikan Falsafah Pendidikan Kebangsan dalam usaha melahirkan murid yang harmoni dan seimbang dari semua aspek termasuk aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

No comments:

Post a Comment