Tuesday 23 December 2008

Usaha untuk mempertingkatkan martabat profesion keguruan

Salah satu ciri sebuah negara maju dan moden ialah mempunyai ramai tenaga kerja profesional yang mampu menampung keperluan sumber manusia dunia. Dalam konteks pendidikan, guru yang profesional merupakan aset utama yang bertindak sebagai kilang yang menghasilkan produk sumber manusia yang profesional. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bersungguh – sungguh merangka dan melaksanakan pelbagai program bagi melahirkan guru yang profesional serta menaikkan tahap profesionalisme keguruan di negara ini. Hal ini adalah selari dengan Wawasan 2020 yang hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi.

Peranan yang diambil oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha untuk mempertingkatkan martabat profesion keguruan adalah amat berat. Hal ini kerana bilangan guru di Malaysia adalah ramai dan memerlukan kos yang amat tinggi untuk menjayakan projek ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan telah memasukkan rancangan untuk memartabatkan profesion keguruan sebagai salah satu teras dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara (PIPPN) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007.

Teras ke lima PIPPN iaitu memartabatkan profesion keguruan telah dibahagikan kepada lima fokus utama. Lima fokus utama tersebut ialah yang pertama, menambah baik sistem pemilihan calon guru. Kedua, memantapkan latihan perguruan. Ketiga, memantapkan kerjaya guru. Keempat, menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru. Kelima, memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia.

Fokus pertama dalam teras ke lima PIPPN ialah menambah baik sistem pemilihan calon guru. Secara kasarnya, hal ini boleh diterjemahkan sebagai memperketatkan syarat dan kriteria pengambilan calon guru. Program – program pengambilan calon guru seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) akan diperketatkan syarat kelayakannya. Hal ini adalah untuk memastikan bahawa hanya calon – calon yang layak sahaja yang akan mendapat tempat di Institut Pendidikan Guru (IPG). Sebagai contoh, Calon yang ingin menduduki tempat dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) perlu meduduki Ujian PemilihanCalon Guru Malaysia (MteST) serta perlu melepasi temu duga secara individu dan berkumpulan. Ini adalah bagi memastikan bakal – bakal guru yang lahir dari IPG adalah guru – guru yang berkualiti dan mempunyai tahap profesionalime yang tinggi.

Fokus kedua dalam teras ke lima PIPPN ialah memantapkan latihan perguruan. Antara strategi pelaksanaan fokus kedua ini adalah menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka bentuk dan menggubal kurikulum IPG secara berpusat dan mendapat kelulusan Majlis Kurikulum Pendidikan Guru, peningkatan, pemantapan dan peluasan kursus dan latihan dan yang terakhir, peluasan dan peningkatan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Hal ini amat penting kerana suasana pembelajaran yang baik dan kondusif akan dapat melahirkan guru yang cemerlang dari semua aspek serta mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi.

Memantapkan kerjaya guru merupakan fokus ketiga dalam teras ke lima PIPPN. Penambahbaikan perjawatan guru dan penambahan perjawatan serta peluasan naik pangkat untuk PPS di KPM/JPN/PPD/G merupakan antara strategi pelaksanaan dalam fokus ketiga ini. Melalui startegi ini kerajaan akan meningkatkan kadar kenaikkan pangkat mengikut kuota baharu. Kerajaan juga akan menambah baik norma perjawatan guru. Selain hal itu, elaun – elaun untuk tugas – tugas khas akan diberikan. Cuti rehat dan waktu bekerja guru juga akan disemak semula. Melalui startegi pelaksanaan ini, berkemungkinan besar hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan guru akan berjaya.

Fokus ke empat pula ialah menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru. Melalui strategi menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan penempatan guru mengikut opsyen dan keperluan, mutu kerja guru – guru akan meningkat. Keperluan tempat tinggal di kawasan luar bandar, pedalaman dan bandar besar akan disediakan melalui pembinaan kuarters baharu. Bilik – bilik darjah juga akan dibaik pulih bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan. Penempatan guru mengikut opsyen merupakan langkah yang amat bijak. Hal ini kerana, guru – guru akan lebih mudah berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih berkesan tentang masalah – masalah P&P dan sebagainya. Ini akan dapat meningkatkan tahap pencapaian murid sekaligus memartabatkan profesion keguruan.

Faktor yang terakhir dalam teras ke lima PIPPN ialah memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia. Hal ini bermaksud, sumber – sumber manusia seperti guru – guru baharu dan guru – guru pelatih akan disediakan dengan perancangan dan pengurusan yang mantap. Untuk itu pihak IPG akan mewujudkan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada IPTA mahupun IPTS tentang latihan guru Selain hal itu, sistem maklumat guru akan ditambah baik dan dikemas kini secara total dari semasa ke semasa secara komprehensif.

Selain peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan, pihak –pihak lain juga perlulah bekerjasama dan janganlah hanya memeluk tubuh dan asyik mengkritik langkah – langkah yang telah diambil kerajaan. Pihak guru itu sendiri perlulah melakukan anjakan paradigma dan memberikan sokongan yang padu atas apa sahaja usaha dalam memartabatkan profesion keguruan. Para guru perlulah berusaha untuk menyemai sifat – sifat seorang guru yang profesional serta menigkatkan tahap profesionalisme mereka. Antara sifat dan kualiti profesional seorang guru seperi yang telah digariskan oleh KPM ialah suka membaca, ingin tahu, kemahiran bertutur, daya ingatan, daya usaha dan pengetahuan ikhtisas. Selain hal itu, guru juga perlulah mengelakkan diri daripada melakukan perkara – perkara yang boleh mendatangkan imej buruk kepada profesionalisme keguruan. Mereka hendaklah menjaga tingkah laku mereka di mana sahaja mereka berada. Oleh hal yang demikian, usaha kerajaan untuk memartabatkan profesion keguruan tidak akan sia – sia kerana mendapat sokongan daripada para guru sendiri.

Kesimpulannya, segala usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak untuk memartabatkan profesion keguruan haruslah dipuji kerana pelaksanaannya bukanlah enteng. Oleh hal yang demikian semua pihak terutamanya pihak guru di Malaysia itu sendiri haruslah menyokong segala rancangan dan projek dalam usaha memartabatkan profesion keguruan kerana dalam zaman baharu ini profesion keguruan merupakan suatu profesion yang semakin mencabar. Ditambah lagi dengan para pelajar dan murid yang semakin matang dan maju dalam menongkah arus kehidupan yang serba maju dan moden sekarang. Justeru itu semua pihak haruslah memainkan peranan mereka agar usaha untuk memartabatkan profesion keguruan akan mencapai matlamatnya.

No comments:

Post a Comment