Wednesday 3 December 2008

Tok Ayah

Petang ini aku keseorangan. Umi dan Baba tiada. Angah, Ude dan Alang pun tiada. Mereka semua ke rumah Tok Ayah. Dari tadi. Dari awal pagi lagi. Sebab apa aku tak tahu. Aku tak sempat nak menanya. Pagi tadi, awal-awal pagi lagi semasa aku tidur, mereka telah pergi. Hanya ada aku di rumah. Tiada Umi, tiada Baba, tiada Angah, tiada Ude dan tiada Alang. Jam loceng buruk yang hampir-hampir aku mahu buang itulah yang mengejutkan aku jam 10.00 pagi. Solat subuh? Dalam mimpi. Sudah sebulan aku tidak solat subuh. Alasannya hanyalah kerana Umi tidak mengejutkan aku. Umi dan Baba pagi-pagi lagi sudah ke rumah Tok Ayah. Angah, Ude dan Alang pun sama sahaja. Solat subuh entah ke mana.

Sejak Tok Ayah jatuh tangga sebulan yang lepas, Umi dan Baba kerap pergi ke rumah Tok Ayah. Hari-hari. Pagi-pagi buta lagi. Itu pun sejak sebulan yang lalu. Sebelum ini jarang sekali Umi dan Baba ke rumah Tok Ayah. Kalau pergi pun jika ada urusan. Kali terakhir Umi dan Baba ke rumah Tok Ayah ialah dua bulan yang lalu iaitu semasa kenduri arwah Nek Jah biarpun rumah kami dengan rumah Tok Ayah tak lah jauh mana. Tok Ayah memang sayangkan Nek Jah. Tiap-tiap tahun dia akan adakan kenduri arwah untuk Nek Jah. Bertuah Nek Jah punyai seorang suami yang mithali.

Tok Ayah memang sangat sayangkan Nek Jah. Walaupun mereka berkahwin atas arahan keluarga masing-masing, mereka tetap saling menyayangi sehingga akhir hayat Nek Jah dan sekarang. Masih kuingat lagi, tiap-tiap tahun semasa hari ulang tahun kelahiran Nek Jah, Tok Ayah akan membawa Nek Jah ke pekan. Makan-makan di Kedai Tok Salim. Kemudian jalan-jalan di Tanjong. Tok Ayah bawa payung, payungi Nek Jah daripada kepanasan terik mentari. Aduh . . . .Romantiknya Tok Ayah. Aku pernah lihat sekali. Masa itu aku baru berumur 9 tahun. Pagi-pagi Tok Ayah dah bawa Nek Jah naik kereta kataknya ke pekan. Petang-petang baru balik. Solat? Tok Ayah memang jaga solatnya. Setahu aku dia tak pernah tinggalkan solat. Tapi tak mengapa, kat pekan ada masjid. Tok Ayah dan Nek Jah boleh solat di sana.

Tok Ayah ada banyak kebun. Kebunnya berekar-ekar. Tanam durian, tanam betik, tanam tebu, tanam cempedak. Rumah sewanya berderet-deret. Hasil kebun getahnya pula memang banyak. Diupahnya anak-anak orang sini mengerjakan kebun-kebunnya. Tok Ayah memang baik. Sudahlah kaya, beriman, pemurah, Tok Ayah tak pernah lokek memberi sedekah. Kalau dia nampak fakir miskin mengemis di pekan, dia tak lokek menghulur kepada mereka. Mungkin kerana faktor wanglah Umi dan Baba hari-hari ke rumah Tok Ayah sejak Tok Ayah jatuh tangga. Mungkin membodek Tok Ayah. Manusia biasalah. Memang macam itu.

Bosan dan bosan. Tapi aku tak kisah. Aku dah biasa tinggal berseorangan ditemani hanya Raqib dan Atib. Ditemani hanya dengan laptop dan telefon bimbit pemberian Baba. Dikenyangi perut dengan hanya beberapa bungkus mee segera dan air suam yang sememangnya tersedia di dalam gerobok. Aku tak kisah. Aku sudah biasa. Kalau dulu aku selalu ke rumah Tok Ayah. Kalau bosan aku ke sana. Kalau lapar pun aku ke sana. Tok Ayah baik. Dia sangat baik. Baik terhadapku.

Kata orang dulu lain, sekarang lain. Betul dan memang tepat. Sejak dua tiga bulan yang lalu perangai Tok Ayah berubah. Bukan kerana kehilangan Nek Jah tapi kerana sebab yang aku tidak tahu. Nek Jah dah dua tiga tahun meninggal dunia. Tok Ayah semakin bersikap dingin dengan aku. Kalau aku membuat sesuatu yang tak kena dimatanya, aku terus dimarah oleh Tok Ayah. Kalau dulu aku selalu menerima wang jajan daripada Tok Ayah. Katanya duit kalau kita habiskan membeli makanan tak mengapa, jangan dihabiskan duit membeli bukan makanan. Katanya lagi kalau beli makanan perut kenyang. Sekarang Atok Ayah sudah lain. Lain daripada Tok Ayah yang dulu.

Kalau dulu Tok Ayah selalu bagi pesan kepada aku. Jangan buat itu, jangan buat ini. Jangan merokok macam dia. Jangan lawan cakap Umi. Jangan tinggalkan solat. Kalau dulu masa aku lepak-lepak di rumah Tok Ayah, Tok Ayah selalu suruh aku gulung rokok daun untuknya. Aku tak hisap, Tok Ayah yang hisap. Kalau tembakaunya habis Tok Ayah suruh aku beli di Kedai Parman. Kedai Parman dekat saja dari rumah Tok Ayah. Beberapa pelaung sampailah di Kedai Parman. Kalau menapak dalam beberapa minit saja.

Kalau dulu petang-petang Tok Ayah selalu bawa aku memikat burung. Aku tak suka memikat burung. Baba pun dah pesan jangan ikut sangat Tok Ayah itu tapi aku pergi juga sebab nak jaga hati Tok Ayah. Tok Ayah kesepian. Sejak pemergian Nek Jah. Cucunya yang lain pun jarang balik. Aiman, Surya, Mona, Abang Aim, Abang Zul, Kak Lily, Kak Hernia. Mereka tinggal jauh. Angah, Ude dan Alang pun jarang ke rumah Tok Ayah. Mereka tak kisah akan Tok Ayah. Ada ke tiada ke mereka tak kisah. Angah sibuk dengan butik bajunya di pekan. Ude sibuk dengan bengkel motosikalnya di pekan juga. Alang pula tak habis-habis berulang alik ke Johor Bahru menguruskan kedai kasut yang diusahakannya bersama rakannya. Katanya kalau dia tak pergi jenguk alamak lingkuplah kedainya. Tapi sejak Tok Ayah jatuh tangga sebulan yang lalu Angah, Ude dan Alang acap kali ke rumah Tok Ayah. Biarkanlah mereka. Masing-masing sudah besar. Sudah mumaiyiz. Sudah tahu membezakan mana yang baik mana yang buruk. Sudah baligh. Alang pun sudah bertunang dengan gadis Kulai.

Kalau dulu masa aku tidur di rumah Tok Ayah, tidur malam perlu selimut. Malam-malam sejuk. Datang subuh lagi sejuk. Lagi-lagi rumah papan. Tok Ayah selalu marah kalau buka kipas masa nak tidur. Katanya membazir. Tak elok sejuk-sejuk sangat. Subuh nanti lagi sejuk. Oleh sebab itu, Tok Ayah selalu suruh aku kencing dulu sebelum tidur, katanya nanti ngompol. Betul juga kata Tok Ayah. Tidur di rumah papan, malam-malam udaranya sejuk, kalau sejuk keraplah nak buang air kecil. Logik. Tok Ayah memang pandai. Tapi sekarang, malam-malam keadaannya panas. Hawanya panas. Udaranya kering. Subuh pun belum tentu sejuk. Kalau sejuk pun cukuplah dikatakan hanya nyaman. Aku pun dah jarang tidur di rumah Tok Ayah. Sejak perangai Tok Ayah berubah aku tak pernah bermalam di sana. Sejak sebulan yang lalu Umi dan Baba selalu suruh aku bermalam di rumah Tok Ayah. Aku tak mahu. Aku malas nak mengadap perangai Tok Ayah yang dah lain macam.

Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Aku lupa yang aku belum solat asar. Aku pun bingkas bangun mengambil wuduk dan menunaikan fardu asar. Dalam doaku, aku berharap yang Tok Ayah akan cepat sembuh. Sembuh penyakitnya dan kembali kepada perangainya yang normal. Aku jelak dengan perangainya sekarang. Fiilnya kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah dia dirasuk setan. Cepat marah. Cepat naik angin. Cepat mengamuk. Silap sikit mengamuk. Silap sikit memaki. Ya Rabbi apa kena dengan Tok Ayah ini. Aku mula membayangkan yang bukan-bukan fasal Tok Ayah. Mungkin dia telah disampuk ketika memikat burung semasa aku sudah tidak lagi menemaninya lagi pergi memikat burung. Mungkin dia terkena buatan orang yang dengki dengan kebaikan dan kemurnian hati Tok Ayah. Atau mungkin Tok Ayah mengalami depresi setelah sekian lama kehilangan Nek Jah. Tak mungkin! Tok Ayah bukan macam itu. Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbitku memanggil-manggil aku kerana ada panggilan menunggu. Aku bingkas bangun dari tikar sejadah dan ke ruang tamu menyambut panggilan tersebut. Rupa-rupanya Baba yang menelefon. Aku kaget dan tak terkata apa-apa. Hatiku sedih. Tok Ayah sudah tiada. Tok Ayah sudah mati.

No comments:

Post a Comment