Tuesday 23 December 2008

Menyorot Kembali Sejarah Perkahwinan

Semua orang mahu kahwin. Tiada siapa yang tidak mahu berkahwin. Mungkin ada juga golongan-golongan tertentu yang tidak mahu berkahwin atau tidak percaya kepada perkahwinan tetapi mereka adalah golongan minoriti yanh menyimpang daripada norma-norma kehidupan masyarakat dunia. Semua bangsa di atas muka bumi ini mempunyai tradisi dan adat istiadat untuk mengadakan majlis perkahwinan. Hal ini membuktikan perkahwinan merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia dan merupakan kemuncak kehidupan seseorang. Perkahwinan pada kebiasaannya akan menghasilkan zuriat. Banyak atau sikit terpulang kepada individu masing-masing.

Usia yang ideal bagi seseorang untuk berkahwin adalah sangat subjektif. Hal ini berubah mengikut arus zaman dan kehendak kemajuan sesuatu bangsa. Masyarakat Melayu contohnya, pada dekad-dekad 60 an dan ke atas anak-anak gadis akan dikahwinkan dengan seorang jejaka pilihan keluarga. Si gadis tidak akan mempersoalkan tindak-tanduk keluarga mereka kerana mereka percaya bahawa pilihan keluarga adalah yang terbaik. Mereka juga tidak mempunyai sifat berdikari yang tinggi kerana mereka bergantung harap sepenuhnya kepada keluarga mereka. Soal kehidupan mereka diserahkan bulat-bulat kepada ibu dan ayah mereka. Untuk peringkat seterusnya kehidupan mereka akan diserahkan sepenuhnya kepada keluarga untuk memilih bakal suami mereka. Dan begitulah seterusnya apabila mereka telah berkahwin mereka serah bulat-bulat kehidupan mereka kepada suami mereka. Kebiasaannya mereka tidak kenal siapa bakal suami mereka. Malah tidak pernah melihat muka bakal suami mereka sehinggalah tiba hari pernikahan.

Pepatah ‘perigi cari timba’ jelas menunjukkan kekangan kepada si gadis untuk memilih bakal suami mereka. Jika mereka cuba untuk memilih bakal suami mereka sendiri mereka akan dilabelkan sebagai perigi cari timba. Hal ini sangat kontra dengan kisah perkahwinan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad yang berkahwin dengan Siti Khadijah adalah hasil usaha Siti Khadijah yang meminang Nabi Muhammad. s.a.w. Oleh itu tidak timbul istilah perigi cari timba dalam kamus kehidupan Islam. Dalam al-Quran sendiri tidak terdapat pengharaman tentang si gadis yang memilih calon suami atau wanita yang meminang bakal suami. Hanya dalam kehidupan masyarakat Melayu hal ini menjadi sangat janggal hinggalah ke hari ini. Hal ini membawa kepada kahwin muda yang anak gadis yang baru berusia belasan tahun dikahwinkan oleh keluarga mereka dengan lelaki pilihan keluarga.

Selepas dekad-dekad 60 an, iaitu berbelas tahun selepas Malaysia merdeka, kaum hawa di Malaysia mula mengorak langkah mengubah cara tradisi melangkah ke alam perkahwinan daripada berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga kepada berkahwin dengan lelaki pilihan sendiri. Gerakan kepada perubahan ini dipanggil ‘Feminisme’ dan dikatakan gerakan ini bermula di Great Britain dan menular masuk ke Malaysia selaras dengan pendudukan semula Inggeris ke Tanah Melayu selepas pengunduran tentera Jepun. Kaum wanita mula berdikari dan percaya kepada kebolehan diri sendiri. Maka muncullah ramai pekerja-pekerja wanita yang mengisi pelbagai profesion dalam pelbagai lapangan daripada guru di sekolah hinggalah kepada pemandu bas. Menikut statistik yang telah dikeluarkan sebuah badan bertanggungjawab, 60 peratus profesion keguruan telah diisi oleh guru wanita. Malah kuota pengisian graduan di universiti awam terutamanya diisi sehingga 70 peratus kaum hawa.

Masalah lain pula mula timbul apabila ramai wanita tidak berkahwin sehingga ke usia tua. Melalui beberapa kajian yang telah dijalankan oleh badan-badan saintifik antarabangsa mahupun jabatan-jabatan berkaitan di seluruh dunia telah merumuskan pelbagai kesimpulan terhadap masalah ini. Pertama kaum wanita terlalu terpengaruh dengan novel-novel cinta atau filem-filem romantik yang terdapat di pasaran. Mereka terlalu mencari lelaki yang sempurna atau ‘Mr. Perfect’ seperti mana yang banyak terdapat perannya dalam filem-filem romantik. Mereka mahupan ‘Mr. Perfect sedangkan mereka tidaklah sesempurna mana. Mereka lupa bahawa tidak wujud manusia yang sempurnapun di dunia ini.

Masalah kedua wujud akibat terlalu ramai wanita di universiti awam telah merancakkan sistem pengajian tinggi di negara. Akibat terlalu asyik belajar dan terlalu komited dalam pelajaran mereka, mereka lupa bahawa mereka adalah seorang manusia yang berjantina wanita dan perlu berkahwin. Malah ramai juga yang telah menetapkan pelbagai target untuk berkahwin. Contohnya,’aku akan berkahwin bila aku sudah membuat PhD nanti’ atau ‘aku akan berkahwin bila aku sudah dapat ijazah sarjana nanti’. Masalah yang ketiga berlaku dalam lingkungan wanita yang berkerjaya. Gerakan ‘feminisme’ telah membawa kepada ramai wanita yang tidak mempercayai kepada perkahwinan. Wanita berkerjaya ini terlalu asyik dengan kerja mereka sehinggakan lupa untuk mencari teman hidup.

Selepas zaman millenium, kerancakkan modenisasi yang bertunjangkan globalisasi telah mengubah sekali lagi teras kepada sistem mencari pasangan bagi wanita di Malaysia terutamanya. Kemasukkan banyak anasir-anasir hitam terutamanya porno dan segala macam benda yang tidak elok telah mengubah pemikiran anak-anak gadis. Hari ini, tradisi kahwin muda yang diwujudkan oleh orang-orang terdahulu kembali lagi tapi dalam bentuk yang dahsyat. Lazimnya, anak-anak gadis sekarang berkahwin awal kerana telah terlanjur dengan kekasih hati mereka. Tidak kurang juga yang sudah tidak tahan lagi untuk berkahwin denga kekasih hati mereka.

Masalah lain pula timbul apabila ramai anak-anak gadis kahwin muda. Istilah darah panas sering digambbarkan kepada anak-anak muda. Anak-anak muda yang berkahwin awal dan darahnya masih panas selalu membawa kepada pergaduhan dan perceraian. Tidak kurang juga kes penderaan rumah tangga. Akibat tekanan kerja, si suami membawa pulang masalah yang merunsingkan kepala dan dilepaskan kepada isteri mereka. Si isteri yang baharu berusia belasan tahun, teruk menerima penderaan dan akhirnya membawa kepada penceraian atau kematian.

Konklusinya, perkahwinan merupakan sesuatu yang diperlukan oleh setiap insan. Cara atau langkah yang digunakan juga berbeza mengikut perubahan zaman dan waktu. Oleh hal itu tidak salah kiranya jika kita mengamalkan tradisi yang telah menjadi amalan nenek moyang kita iaitu berkahwin muda asalkan masing-masing sudah mampu untuk memikirkan tentang tanggungjawab masing-masing. Isitilah perigi cari timba seharusnya dihapuskan dalam kamus kehidupan masyarakat Malaysia dan disimpan sahaja di dalam ensiklopedia masyarakat Malaysia kerana peribahas ini sudah tidak relevan lagi untuk diamalkan pada masa sekarang.

No comments:

Post a Comment