Monday, 28 December 2009

PEMBINAAN TAMADUN JEPUN SEHINGGA MELAHIRKAN TAMADUN JEPUN YANG MAJU

Oleh: Ziham Zawawi Bin Mazlan


PENDAHULUAN
Gambatte! Gambatte! Acapkali perkataan ini diteriak dari mulut orang-orang Jepun terutamanya anak-anak muda Jepun apabila ingin memberi semangat kepada saudaranya yang sedang berusaha melakukan sesuatu. Itulah kunci kejayaan masyarakat Jepun! Saling memberi semangat dan sentiasa bekerjasama. Ketamadunan Jepun yang telah bermula sejak ribuan tahun dahulu merupakan asas kemajuan negara Jepun yang maju pada hari ini.

Ketamadunan Jepun yang pesat membangun seringkali dijadikan contoh oleh negara-negara membangun yang lain. Walaupun, Hiroshima dan Nagasaki telah dihancurkan dengan bom atom Amerika Syarikat, mereka mampu bangkit dengan masa yang singkat sehingga menjadi kuasa ekonomi unggul Asia.

Bagi memperhalusi lagi perbincangan kita tentang topik ini, marilah kita mendekati definisi-definisi kata kunci yang terdapat dalam perbincangan ini. Istilah tamadun berasal daripada perkataan Arab, iaitu ‘maddana’ yang bererti ‘kehalusan budi bahasa’ dan ‘kesopanan tingkah laku’. Tamadun juga membawa erti pembukaan bandar. Edward L. Farmers pula mendefinisikan tamadun sebagai satu unit budaya yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi. Profesor Wan Hashim Wan Teh berpendapat bahawa perbezaan antara tamadun dengan budaya ialah tahap pencapaiannya. E.B Taylor, seorang ahli antropologi mendefinisikan tamadun sebagai merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan-keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang didapati oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Menurut Jacqueta Hawkes, tamadun merujuk kepada kualiti tinggi yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat. Manakala seorang sejarawan materialis, Gordon Childe memberi penekanan kepada pencapaian material sebagai lambang ketamadunan sesebuah masyarakat.

Istilah Jepun pula secara umumnya merujuk kepada negara Jepun yang terletak di Timur Asia. Menurut CIA World Factbook yang dikeluarkan oleh CIA (Crime Investigation Agency/Agensi Penyiasatan Jenayah) Amerika Syarikat, istilah ‘Japan’ yang membawa maksud Jepun dalam bahasa Melayu merujuk kepada sebuah negara yang kedudukannya 36 00 U, 138 00 T dalam peta dunia dan berkeluasan 377, 835 kilometer persegi. Menurut laman web Wikipedia pula Jepun atau nama rasminya Nippon-koku atau Nihon-koku merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Timur Asia.

Perkataan ‘maju’ pula menurut Kamus Dewan Edisi Baru membawa maksud bertambah baik keadaannya atau tinggi tamadunnya (peradabannya, taraf hidupnya, dll). Menurut Kamus Umum Bahasa Indonesia, perkataan maju membawa maksud melangkah ke depan, bertambah berhasil dalam mengembangkan perusahaan, lulus dalam ujian. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia pula, perkataan maju membawa maksud berjalan(bergerak) ke muka, tampil ke muka, mendesak ke depan (tentang persatuan), menjadi lebih baik (laku, pandai, dsb), berkembang.

GEOGRAFI, DEMOGRAFI DAN SEJARAH JEPUN
Jepun atau Nihon(Nippon) dalam bahasa Jepun dikenali secara meluas sebagai Tanah Matahari Terbit. Nihon sebenarnya bermakna asal matahari, iaitu matahari terbit. Jepun juga pernah dikenali sebagai Yamato. Nihon, telah diterima secara am sebagai nama untuk Jepun dan telah digunakan buat pertama kalinya oleh cendiakawan-cendiakawan Jepun. Orang-orang Korea yang telah ramai datang ke Jepun pada awal abad ke 7. Istilah Nippon telah digunakan dengan meluas semasa era Meiji (186-19120 dan Taisho (1912-1926). Selepas perang kedua, Nihon sebaliknya lebih banyak digunakan dirujukkan kepada Jepun.

Kepulauan Jepun terdiri daripada Honshu, Kyushu, Shikoku, Hokkaido dan pulau-pulau kecil yang berhampiran. Honshu, merupakan pulau yang terbesar dan menjadi tempat tinggal empat perlima daripada penduduk Jepun masa kini. Beberapa buah daripada bandar-bandar yang terbesar di Jepun, seperti Tokyo, Osaka, Kyoto, Nagoya, Yokohama, dan lain-lain terletak di pulau ini. Jepun adalah sebuah negara yang kekurangan kawasan-kawasan dataran, perairan, dan sungai-sungai yang panjang lebar. Bagaimanapun, oleh kerana kedudukannya di zon monsun, ia mendapat hujan dan kelembapan yang secukupnya dan dengan yang demikian ia kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Secara am, iklimnya adalah sederhana, dan kempat-keempat musim, (bunga, panas, luruh, dan sejuk) adalah jelas berbeza.

Empat perlima daripada negara Jepun diliputi oleh kawasan pergunungan dan seperlima oleh dataran lanar. Antara dataran-dataran lanarnya ialah yang terkaya terletak di Honshu, terutamanya di sebelah kawasan timur Jepun. Ketiga-tiga dataran tersebut ialah Kanto(terletak di Tokyo), Kinai(terletak di teluk Osaka) dan yang ketiga terletak di Teluk Ise. Ketiga-tiga dataran ini mempunyai penduduk yang padat. Dataran-dataran tersebut amat penting dalam sejarah Jepun kerana ia merupakan kawasan-kawasan pengeluaran makanan dan juga sumber kekayaan dan kuasa utama. Oleh hal itu, dataran-dataran ini telah menjadi punca perselisihan dan persaingan di kalangan tuan-tuan tanah dan keluarga-keluarga feudal.

Orang-orang Jepun sebahagian besarnya berketurunan Mongoloid dan dengan itu mereka mempunyai pertalian rapat dengan orang-orang Cina, Korea, Thai, Burma dan lain-lain. Mereka berbadan sederhana dengan potongan muka yang berbentuk bujur serta rambut dan mata yang berwarna hitam. Orang-orang Jepun berketurunan Mongoloid ini telah sampai ke Kyushu melalui negara China dan kemudian berhijrah ke Honshu, Shikoku, dan Hokkaido. Orang-orang Jepun juga telah berkahwin campur bangsa Ainu.

Orang-orang Ainu merupakan bangsa proto-Caucasoid yang telah menduduki Jepun terlebih awal daripada orang-orang Mongoloid. Beberapa ahli antropologi telah menganggarkan bahawa orang-orang Ainu hidup di Jepun lebih kurang 5000 tahun yang lalu. Hasil-hasil penyelidikan arkeologi, misalnya pertukangan barang-barang tembikar, siput dan lain-lain, menunjukkan kewujudan suatu kebudayaan neolitik yang mungkin telah diteruskan oleh orang-orang Ainu. Apabila semakin ramai orang-orang Jepun (suatu proses yang telah berlanjutan sehingga abad ke-8 Tahun Masihi), orang-orang Ainu, telah berpindah ke utara ke Hokkaido. Dalam proses tersebut, ramai orang Ainu kini merupakan suku bangsa Jepun. Orang Ainu kini merupakan suatu bangsa yang sedang mengahadapi proses pemupusan dan mereka hidup dalam penempatan-penempatan kecil di Hokkaido.

Orang-orang Ainu merupakan salah satu penduduk yang paling awal mendiami Jepun. Pada asasnya mereka merupakan masyarakat primitif yang hidup memburu dan memungut makanan. Kemungkinan juga mereka telah menduduki beberapa ribu tahun yang lalu. Mereka juga telah memiliki kebudayaan yang meyerupai zaman neolitik. Orang-orang neolitik ini telah menggunakan alat-alat harian yang telah diperbuat daripada serpihan batu yang telah digilapkan, tulang ikan dan tanah liat.

Sejarah awal kebudayaan Jepun dikenali sebagai Jomon. Perkataan Jomon ini berasal daripada barang-barang yang telah direka oleh orang-orang Jepun dari tanah liat jenis Jomon. Pertukangan tembikar Jomon telah dijumpai di Jepun telah menunjukkan kehalusan seni dan corak-corak yang luar biasa. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk asli Jepun telah mencapai taraf seni kebudayaan yang agak tinggi menjelang tahun 5000 SM.

Menjelang tahun 5000 SM, dipercayai suku kaum ini telah mengikut aliran hidup yang kolektif dan tetap tanpa jurang perbezaan antara miskin dan kaya. Mereka juga mempercayai suatu jenis kuasa ghaib. Hal ini boleh disimpulkan dari rupa-rupa patung patung dewi yang diperbuat daripada tanah liat dan gada-gada batu besar yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ilmu sihir. Orang-orang yang sudah meninggal dikebumikan tanpa keranda, dengan tangan dan kaki dilipatkan dan kadangkala diletakkan sebuah batu yang besar di atas dada mereka supaya mereka tidak menjelma semula.

Pada hampir tahun 200 Sebelum Masihi, pengaruh kebudayaan dari negara China mula mengalir masuk ke Jepun. Dinasti-Han di negara China(206SM-24SM) mula menekankan pengaruhnya ke atas penduduk awal Jepun. Akibatnya masyarakat Jepun mula mengalami banyak perubahan. Seni berkebun dan membuat perkakas-perkakas tembaga dan besi serta periuk-belanga tembikar yang telah direka pada waktu itu iaitu dari zaman-prasejarah Jepun sehingga hampir abad ke-14 Masihi. Barang-barang tembikar ini telah dicirikan oleh garisan-garisan inrus dan corak-corak ibi mudah dan kemas.
Pertanian merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun pada awal sejarahnya. Pada zaman pemerintahan Kamasura, Jepun telah memperlihatkan pertambahan hasil ekonomi. Pada abad ke-12 dan ke-13 Masihi, hasil pembuatan serta penggunaan alat-alat pertanian telah meningkat. Hal ini menyebabkan lebihan hasil pertanian. Justeru itu banyak bazar dan kedai telah didirikan. Penanaman padi diberikan penumpuan. Pada ketika ini, masyarakat Jepun juga menghasilkan tembikar daripada tanah liat sebagai tambahan kepada pendapatan yang sedia ada kerana sektor tanaman tidak dapat menampung semua penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan disebabkan tanaman padi amat mudah terjejas dengan perubahan iklim. Selain hal itu perlombongan juga merupakan satu pekerjaan yang mendatangkan hasil yang lumayan ketika itu contoh hasil galian ketika itu ialah emas, perak, tembaga, merkuri dan timah. Pertukaran wang juga telah meningkat dengan pesat. Perkembangan ekonomi wang menyebabkan ramai pedagang melibatkan diri dalam perdagangan beras dan sake (sejenis arak yang dibuat daripada beras). Ekoran kegiatan perdagangan yang semakin berkembang, masyarakat Jepun telah melibatkan diri dalam bidang perindustrian sehinggalah ke hari ini.
Pada Zaman Meiji, pendidikan dan ilmu pengetahuan telah menjadi agenda penting untuk menandingi kuasa-kuasa Barat. Pemimpin Meiji sedar bahawa pelajaran penting untuk menjadi kuasa ekonomi dan militari termoden. Hal ini dilakukan dengan penyerapan teknologi pengetahuan dari negara-negara tersebut. Pelajaran juga dianggap sebagai kunci kunci untuk membina sebuah negara yang kukuh. Beratus-ratus penuntut dihantar ke luar negeri untuk mempelajari sains, pentadbiran dan teknik perindustrian Barat. Pada ketika ini, pakar-pakar teknologi Barat telah digaji untuk mengajar pelbagai kemahiran kepada rakyat Jepun. Pada tahun 1871, Kementerian Pelajaran di Jepun telah ditubuhkan manakala setahun kemudian, negara Jepun telah dibahagikan kepada lapan daerah pelajaran. Setiap daerah mempunyai sebuah universiti, 32 buah sekolah menengah dan 210 buah sekolah rendah. Kanak-kanak yang berusia enam tahun ke atas wajib menerima pelajaran sehingga 16 bulan. Menjelang tahun 1880, terdapat lebih 28 000 buah sekolah rendah dengan hampir dua juta orang murid. Walaupun Jepun telah bergelar negara yang membangun, namun Jepun tetap memberi tumpuan dan penekanan dalam bidang pendidikan. Ia merupakan salah satu daripada perkara penting selepas perlembagaan baharu dibentuk. Pendidikan moden di Jepun wujud selepas Pembaharuan Meiji dan tradisi pendidikan wajib serta pendidikan tinggi dibentuk pada tahun-tahun seterusnya. Walaubagaimanapun, sistem ini telah diubah selepas Perang Dunia Kedua, iaitu mengikut sistem pendidikan Amerika Syarikat.

FAKTOR KELAHIRAN TAMADUN JEPUN YANG MAJU
Kemajuan Jepun yang sangat pesat membangun membuatkan banyak negara beralih arah ke Jepun. Banyak negara menjadikan Jepun sebagai contoh dalam pembinaan negara bangsa mereka. Sebagai contoh pada tahun 1981, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Mahathir Mohamad telah mengasaskan Dasar Pandang ke Timur. Dasar ini menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh utama dalam proses merealisasikan Wawasan 2020.

Pasti ramai tertanya-tanya apakah formula yang digunakan oleh masyarakat Jepun amnya dan para pemimpin Jepun khasnya dalam proses menjadikan Jepun sebuah negara yang pesat membangun dan maju di rantau Asia. Ramai para cendekiawan berpendapat bahawa aspek kerohaniaan iaitu agama dan falsafah telah menjadikan masyarakat Jepun sebagai sebuah masyarakat yang maju, rajin bekerja dan berdaya saing.

Dalam norma-norma hidup masyarakat Jepun, keluarga merupakan unit terpenting dalam masyarakat Jepun. Perhubungan ahli keluarga dikawal rapi oleh sistem hierarki yang tegas. Kuasa ibu bapa sangat kuat dan berpengaruh dalam pembentukan masyarakat Jepun. Oleh hal yang demikian unit keluarga merupakan lingkungan yang paling berkesan dan efektif dalam menyebar dan menyerap nilai-nilai rohani dan falsafah masyarakat Jepun dalam jiwa anak-anak muda Jepun. Nilai-nilai, konsep-konsep dan falsafah inilah yang menjadi mangkin kepada kemajuan Jepun pada hari ini.

Muraishiki yang bermaksud kesedaran sekampung merupakan salah satu intipati falsafah hidup masyarakat Jepun. Melalui nilai muraishiki ini, maka lahirlah pelbagai pola hidup, adat resam dan bahasa masyarakat Jepun. Nilai atau semangat muraishiki ini sama seperti semangat assabiyah yang terdapat dalam masyarakat Arab Jahiliyah yang mana mereka sangat taksub dengan masyarakat mereka atau dengan kata lain semangat kekitaan. Nilai muraishiki merupakan tunjang kepada semangat kejepunan masyarakat Jepun sehinggakan mereka curiga dengan orang asing.

Dewasa ini, nilai atau semangat murashiki sangat jelas dapat dilihat pada masyarakat Jepun. Sebagai contoh, mereka sangat mengagungkan bahasa mereka sendiri sehinggakan para pelancong yang datang ke Jepun terpaksa menggunakan khidmat pemandu pelancong untuk membantu mereka daripada masalah salah faham dengan penduduk tempatan. Para pelajar asing yang menyambung pelajaran mereka ke universiti-universiti jepun juga terpaksa mempelajari bahasa Jepun untuk memahami kuliah yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah di sana. Hal inilah yang dikatakan semangat kejepunan. Mereka sangat mengagungkan bahasa dan budaya masyarakat mereka sehingga mereka mengamalkan dasar tutup pintu pada abad-abad sebelum tahun 1865.

Konsep konjo ga aru (mempunyai konjo) merupakan konsep yang digunakan untuk menanamkan semangat berjuang, kesanggupan keazaman, ketabahan dan keberanian. Seseorang yang mempunyai semangat konjo akan melaksanakan sesuatu pekerjaan walaupun banyak halangan yang ditempuhi. Halangan yang dihadapi oleh masyarakat Jepun bukanlah sesuatu yang dijadikan alasan sebagai kegagalan kepada sesuatu kejayaan, sebaliknya halangan tersebut dijadikan sebagai satu cabaran untuk mempertingkatkan usaha ke arah kejayaan. Konjo merupakan satu usaha tambahan selain kepakaran dan pengalaman yang menjadikan seseorang itu akan lebih baik daripada orang lain. Hal ini telah menjadikan masyarakat Jepun sebagai satu masyarakat yang rajin bekerja dan berusaha untuk mempertingkatkan hasil yang lebih produktif dan mengkagumkan.

Selain konsep muraishiki dan konjo ga aru, masyarakat Jepun juga sangat berpegang kepada konsep On. Konsep on merupakan satu kewajipan sosial dan psikologi apabila menerima pertolongan daripada individu lain. Perkataan on berasal daripada masyarakat pahlawan, yang dipercayai berasal daripada kisah ketua-ketua pahlawan menghadiahkan sebidang tanah kepada setiap para pengikutnya. Dalam masyarakat Jepun moden, mereka yang berkedudukan tinggi akan menjaga kewajipan orang bawahannya. Orang bawahan ini akan terasa terhutang budi (On) dan akan membalasnya dengan memberikan rasa hormat dan kesetiaan. “Oya no on” pula adalah rasa tanggungjawab kepada kedua ibu bapa dan ianya biasa dilaksanakan dengan cara menjaga kedua-dua mereka apabila mereka sudah tua.

Konsep Karuna merupakan satu konsep kasih sayang sesama makhluk yang menjadi pegangan masyarakat Jepun. Masyarakat Jepun amat mementingkan nilai-nilai kasih sayang dalam kehidupan seharian mereka. Konsep ‘karuna’ ini diperkenalkan di Jepun memandangkan Jepun pada suatu masa dahulu seringkali terlibat dalam banyak peperangan dalam negeri. Melalui konsep ‘karuna’ ini, pihak yang menang dalam sesuatu peperangan seharusnya mengadakan suatu upacara untuk memohon doa semoga roh mereka yang terkorban sama ada daripada pihak kawan mahupun pihak lawan. Mereka mengharapkan agar roh-roh mereka yang terkorban ini berada dalam keaddan yang sejahtera. Ajaran ini telah dipraktikkan oleh salah seorang panglima tentera Jepun yang terkenal, iaitu Hojo Tokimura. Beliau telah mengadakan upacara tersebut sebaik sahaja tentera Jepun berjaya mengalahkan tentera Monggol pada akhir kurun ke-14 Masihi. Upacara yang sama juga telah diadakan semasa peperangan Jepun melawan Rusia (1904-1905). Tentera Jepun telah memohon restu semoga roh mereka-mereka yang telah gugur di medan perang senantiasa aman dan sejahtera. Falsafah ini telah turut mendominasi masyarakat Jepun yang telah menyerap kebudayaan dan tradisi masyarakat Jepun.

Selain faktor falsafah, faktor lain yang menjadi pemangkin kepada kejayaan tamadun Jepun ialah rangsangan keagamaan dan kerohaniaan. Sejak sekian lama, ajaran agama Shinto menjadi tulang belakang kepada asas kerohanian masyarakat Jepun. Ajaran agama ini telah menjadi amalan masyarakat Jepun sejak ribuan tahun dahulu. Namun pada hujung kurun ke-16, agama Buddha telah meresap ke dalam masyarakat Jepun dan berkembang dengan meluas kerana mendapat sokongan daripada Putera Shotoku yang memerintah ketika itu. Putera Shotoku merupakan orang pertama yang mempelbagaikan kehidupan masyarakat Jepun dengan pemikiran dunia Buddha. Kemasukkan agama Buddha ke Jepun dibuktikan dengan pembinaan sebuah patung Buddha yang amat besar bernama Gakku Busatsa yang dibuat daripada tembaga dan memerlukan raqmai tenaga buruh untuk membinanya.

Selain Shinto dan Buddha, masyarakat Jepun juga menerima kemasukkan ajaran Kung Fu-Tze atau Confucius. Ajaran confucius telah mempengaruhi pemikiran orang Jepun melalui lima prinsip yang menjaga hubungan sesama manusia iaitu:-
(a) Hubungan raja dengan rakyat.
(b) Hubungan anak lelaki dengan ayah.
(c) Hubungan adik dengan abang.
(d) Hubungan isteri dengan suami.
(e) Hubungan kawan dengan kawan.

Prinsip-prinsip tersebut telah berjaya melahirkan rakyat Jepun yang mempunyai semangat patriotik dan cintakan negaranya. Hal ini membawa kepada semangat berani mati dan mereka beranggapan bahawa Maharaja Jepun merupakan wakil Tuhan. Oleh hal itu, rakyat perlu taat dan setia kepada maharaja dan memastikan supaya kedudukan maharaja sentiasa terpelihara.

Faktor ketiga kepada kemajuan tamadun Jepun ialah dari aspek pendidikan. Sistem pendidikan di Jepun telah dimantapkan sejak Zaman Nara lagi. Pada zaman ini, kemasukan tulisan Cina berkembang luas dengan pengubahsuaian dilakukan. Oleh hal itu, sistem pendidikan amat dititikberatkan apabila masyarakat Jepun digalakkan belajar, walaubagaimanapun kaum wanita tidak dibenarkan belajar. Selain hal itu, Maharaja Temmu juga telah mengarahkan penulisan dua buah buku iaitu Kojiki dan Nihonshoki. Zaman Nara juga dikatakan mempunyai kesusasteraan yang hebat dengan penulisan sebuah buku bertajuk Genji Manogatari yang telah ditulis oleh seorang wanita bernama Murasaki Shikibu. Pada zaman Heian, keluarga Fujiwara terkenal dengan peranannya yang memperkenalkan adat memuliakan pelajaran dan ilmu serta cintakan kesenian dalam masyarakat Jepun. Terrakoya atau sekolah rakyat telah didirikan hampir 60 000 buah pada zaman Keshogunan Tokugawa. Antara subjek-subjek yang diajar di terrakoya ialah ajaran confucius, buku-buku klasik Cina, seni lukis, ukiyo-e, puisi, sastera, kabuki, No, Kyogen dan sebagainya.

Maharaja Meiji, yang terkenal dengan sumbangannya dalam pemodenan Jepun telah menyedari kepentingan pendidikan dalam proses pembinaan tamadun yang maju dan dihormati. Maharaja Meiji menyedari bahawa pentingnya mencari ilmu, terutamanya untuk menjadikan kuasa ekonomi dan militari termoden. Menjelang bulan Jun 1968, Meiji memberikan kebebasan kepentingan mencari ilmu pengetahuan khususnya dari barat. Oleh hal yang demikian, Jabatan Pelajaran tekah ditubuhkan pada tahun 1871 dan menekankan aspek pendidikan awal dan menengah. Pada tahun 1872 pula Jepun dibahagikan kepada lapan kawasan pelajaran. Setiap kawasan pelajaran mempunyai sebuah universiti, 32 sekolah menengah dan 210 sekolah rendah. Kanak-kanak berusia enam tahun ke atas menerima pelajaran wajib selama 16 bulan. Menjelang tahun 1880, terdapat lebih kurang 28 000 buah sekolah rendah dengan jumlah murid hampir dua juta orang. Keadaan ini menyebabkan majoriti rakyat Jepun celik huruf dan cekap dalam bidang teknikal serta bersedia menerima pembangunan.

Universiti Diraja Tokyo ditubuhkan pada tahun 1886 manakala menjelang tahun 1910, beberapa buah universiti diraja ditubuhkan di Sapporo, Kyoto dan Fukuoka. Seluruh sistem pelajaran tertakluk kepada keperluan negara yang menuntut rakyat menjadi warganegara yang terlatih dan berdisiplin. Perintah Diraja mengenai pelajaran dikeluarkan pada tahun 1890 yang menghuraikan mengenai kepatuhan dan penghormatan kepada maharaja harus ditetapkan di dalam kurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi di Jepun. Walaupun Jepun sudah bergelar sebagai sebuah negara maju, namun Jepun tetap memberi penekanan dan tumpuan dalam bidang pendidikan. Hal ini merupakan salah satu daripada perkara penting selepas perlembagaan baharu dibentuk. Pendidikan moden wujud di Jepun selepas Pembaharuan Meiji dan tradisi pendidikan wajib serta pendidikan tinggi dibentuk dalam tahun-tahun seterusnya. Walaubagaimanapun, sistem ini telah diubah selepas Perang Dunia Kedua, iaitu mengikut sistem yang berasaskan sistem Amerika Syarikat. Kejayaan sistem pendidikan Jepun dibuktikan melalui hasil kajian yang telah dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan kadar celik huruf di Jepun ialah 99%! Pada tahun 2003, OECD telah mengeluarkan satu laporan yang bertajuk ‘OECD PISA 2003 report’ yang mengukur tahap kecerdasan kemahiran membaca dan subjek sains pada kanak-kanak diseluruh dunia. Dalam subjek sains, kanak-kanak Jepun telah menduduki tempat ke dua dibelakang Finland dengan mata sebanyak 548. Dalam kemahiran membaca pula, kanak-kanak Jepun menduduki tempat ke-13. Laporan ini membuktikan bahwa sistem pendidikan Jepun amat berkesan dan merupakan faktor kepada kemajuan tamadun Jepun.

Kesengsaraan dan tekanan hidup serta ancaman luar yang kritikal pada masa-masa dahulu menjadi pemangkin kepada kemajuan negara Jepun pada hari ini. Tekanan dan kesengsaraan hidup melonjakkan kegigihan dan solidariti masyarakat untuk mengatasinya. Cuaca yang sukar diramal, peperangan yang sering berlaku, kekurangan tanah pertanian, ancaman kebuluran, bencanan alam yang dahsyat, kemarau dan wabak penyakit menjadikan masyarakat Jepun sebuah masyarakat yang kental, rajin bekerja, berdikari dan mempunyai daya toleransi dan asimilasi yang positif terhadap elemen budaya asing.

Contoh yang paling terkenal untuk diambil ialah peristiwa pengeboman Horishima dan Nagasaki pada masa-masa Perangan Dunia ke-2. Masyarakat Jepun tidak lemah, sebaliknya mereka bangkit semula dan melakukan loncatan jauh yang membuatkan mereka berjaya meninggalkan ramai negara yang lebih tua daripada mereka ke belakang.

RUMUSAN
Jepun merupakan kuasa yang kuat di seluruh Asia dan juga diperingkat antarabangsa dari segi ekonomi. Perkembangan pesat dalam pelbagai bidang membawa perubahan dalam beberapa aspek. Perkembangan teknologi dan maklumat mendedahkan masyarakat Jepun kepada dunia luar yang mengakibatkan penerapan nilai-nilai dan unsur-unsur lain dalam peradapan indigenusnya. Namun, masyarakat Jepun masih mengekalkan banyak aspek yang menjadi tradisi dan identiti bansa Jepun.
Agama yang menjadi pegangan hidup kepada masyarakat Jepun, walaupun mengalami evolusi-evolusi tertentu, masih mengekalkan kebanyakkan nilai asalnya. Agama Shinto merupakan agama kebangsaan yang melambangkan identiti bangsa Jepun. Selain hal itu, agama lain seperti Buddhisme juga turut berasimilasi dengan unsur asal Jepun dan seterusnya berkembang ke seluruh Jepun. Aspek agama mengalami perubahan yang paling kecil jika dibandingkan dengan aspek-aspke lain. Dari segi sosial pula, sesuatu yang menjadi warisan turun-temurun ialah bahasa dan tulisan Jepun. Bangsa Jepun amat mementingkan bahasa kebangsaannya kerana semangat nasionalismenya dan perpaduan bangsa yang tinggi. Hal ini jelas kelihatan pada hasil keluaran barangan Jepun dan sistem pendidikan Jepun.

Walaupun struktur sosial Jepun mengalami perubahan yang ketara, terutama penghapusan sistem feudal. Namun, kedudukan Maharaja Jepun masih dikekalkan kerana beliau dianggap keturunan dewa. Sukan-sukan seperti judo, kendo dan kyudo merupakan aspek yang tidak mengalami pembaharuan besar. Sehingga kini, sukan-sukan ini masih dipraktikkan dengan giat dan melambangkan identiti bangsa Jepun. Selain hal itu, perayaan-perayaan penting tidak kira kategori agama atau sosial juga dikekalkan.

Aspek ekonomi mengalami perkembangan yang paling ketara, iaitu daripada negara yang berlandaskan sumber semulajadi kepada perindustrian moden. Namun, pertanian masih mempunyai kepentingannya dalam ekonomi Jepun. Selain ekonomi, kebanyakkan unsur tradisi masyarakat Jepun masih dikekalkan. Perubahan yang berlaku hanya sekadar menyesuaikan tradisi lama supaya setimpal dengan perkembangan zaman. Evolusi ini seolah-olah mewarnakan tradisi dengan unsur baharu.
Oleh hal yang demikian, masyarakat Malaysia seharusnya mengambil nilai-nilai dan unsur-unsur positif untuk dijadikan amalan hidup selagi unsur-unsur dan nilai-nilai tersebut tidak melanggar garis panduan agama yang dianuti oleh masyarakat Malaysia, jika Melayu agamanya tentulah Islam dan sebagainya. Diharapkan dengan asimilasi budaya Jepun ini, cita-cita Wawasan 2020 akan dapat direalisasikan demi melakukan tranformasi ke arah sebuah negara Islam yang maju dan sebuah peradaban ketamadunan Malaysia yang maju dan disanjung masyarakat sekeliling.
Jepun merupakan antara negara Asia yang maju dan setanding dengan negara barat. Apa yang penting ialah kegigihan masyarakat Jepun membangunkan negara dan ekonomi mereka perlu dijadikan contoh kepada negara Asia yang lain. Ini selari dengan apa yang digariskan oleh Al-Quran iaitu ...”Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…..”.




Bibliography

Ahmad Yahya, N. A. (2009). Keagungan Tamadun Islam : Sejarah yang Digelapkan. Kuala Lumpur: Anbakri Publika.
Americana Corporation. (1829). Encyclopedia Americana, Volume 15. New York: Americana Corporation.
Amienerev, D. (n.d.). Blogspot. Retrieved from http://dukeamienerev.blogspot.com
Aros, A. H. (2004). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) Kertas 1 & 2. Shah Alam: Oxford Fajar.
Bordewich, F. (September 2005). Top of the Class. Reader's Digest , 58-64.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (1998). Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (1989). Kamus Dewan Edisi Baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Japan. (n.d.). Retrieved February 2009, from Wikipedia: http://en.wikipedia.org/wiki/Japan
Pyle, K. B. (1988). Generasi Baru Zaman Meiji. Jakarta: PT Granedia.
Sivachandralingam Sundara Raja, A. L. (1999). Tamadun Dunia. Bangi: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
TV3. (n.d.). VCD Koleksi Kenangan Mahathir. Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment