Sunday 24 January 2010

FALSAFAH PENDIDIKAN REKONSTRUKTIVISME

OLEH: ZIHAM ZAWAWI MAZLAN

Rekonstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran fahaman progresivisme dan menjadi suatu falsafah sendiri. Perkataan Rekonstruksionisme ataupun reconstruct dalam bahasa Inggeris membawa maksud menyusun kembali. Pelopor utama aliran fahaman rekonstruktivisme ialah George S. Counts (1899-1974) dan Harold O. Rugg (1886-1960), kedua-duanya adalah penyokong pragmatisme John Dewey.

Menurut ahli rekonstruktivisme, sekolah dianggap sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan keadaan hidup manusia. Ini bertepatan dengan tujuan asal pelopor-pelopor utama aliran ini iaitu membaiki dan membina semula masyarakat. Sehubungan itu, sekolah merupakan satu landasan yang amat sesuai yang mana suatu masyarakat baru boleh dibentuk kerana aliran rekonstruktivisme ini bermatlamatkan untuk mengasaskan corak budaya baru serta menghapuskan penyakit sosial selain bertujuan untuk mengenalpasti masalah sosial yang menjejaskan pembangunan masyarakat dan menimbulkan krisis budaya.

Sehubungan itu, sekolah seharusnya menjadi sesuatu organisasi yang mengamalkan prinsip rekonstruktivisme. Hal ini memerlukan pelajar mematuhi segala prinsip tingkah laku yang ditentukan dan berusaha mempertingkatkan kualiti pembelajaran mereka. Dalam usaha membina masyarakat baru, teori rekonstruktivisme menumpukan usaha kepada perkembangan ekonomi dan kebajikan sosial manusia. Mereka percaya bahawa sekolah boleh memainkan peranan membentuk semula masyarakat yang harmoni dan sempurna. Maka, peranan guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga, yang lebih pentingnya, membawa isu-isu sosial yang penting untuk dibincang dan diselesaikan secara usahasama. Guru juga hendaklah menjadi agen perubahan dan pembaharuan dengan kaedah pengajaran yang kreatif dan inovatif. Ringkas kata, teori rekonstruktivisme menekankan teknik perbincangan dan penggunaaan kemahiran berjikir kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah. Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, bahan-bahan pelajaran hendaklah distrukturkan secara sistematik dan bersepadu. Mata pelajaran kemanusiaan hendaklah menjadi fokus utama dalam rancangan kurikulum sekolah, agar membentuk pelajar yang berperikemanusiaan, berlandaskan kebudayaan masyarakat yang ideal. Fahami situasi berikut:-
Cikgu Ooi mengajar subjek kajian tempatan di Sekolah Kebangsaan
Kampung Parit Betek. Selain mengajar tentang subjek Kajian Tempatan
di kelasnya, Cikgu Ooi juga sering menerapkan nilai-nilai murni dalam proses P&Pnya. Cikgu ooi juga selalu mengajukan soalan bertanyakan
pendapat murid-murid tentang isu-isu sosial yang sedang hangat
diperkatakan dan kadang-kadang beliau sering mengadakan perbincangan
bersama-sama murid-muridnya tentang isu-isu semasa dan isu-isu sosial
yang sedang hangat melanda masyarakat.

Melalui contoh di atas, dapatlah difahami bagaimana aplikasi seorang guru tentang aliran mazhab rekonstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam usaha membentuk semula masyarakat agar menjadi masyarakat yang bersikap positif

4 comments: