Sunday 24 January 2010

Konsep Perkembangan Kanak-Kanak

Menurut Woolfolk dan Margetts (2007), perkembangan fizikal ditafsirkan sebagai perubahan tubuh badan, perkembangan kognitif sebagai perubahan pemikiran, perkembangan sosial sebagai perubahan hubungan dengan individu lain dan perkembangan emosi sebagai perubahan dalam kefahaman, ekspresi dan pengurusan emosi.

D.S. Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam baka dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur.

Menurut Atan Long pula, perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Tambahan pula, perkembangan sentiasa berlaku secara berterusan dari permulaan percambahan hingga ke akhir hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat matang, tetapi perkembangan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan dilampaui. Tegasnya, perkembangan sentiasa berlaku terus-menerus, dari awal sehingga akhir hayat sesuatu organisma.

Proses perkembangan bagi sesuatu organisma itu sudah sedia terancang dalam gen-gen yang diwarisi daripada keturunan yang terdahulu. Bagi sesuatu jenis organisma, sifat umum jenis itu iaitu phylogenetic adalah serupa. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak yang lain.

No comments:

Post a Comment