Sunday 24 January 2010

Perkembangan Fizikal Kanak-Kanak

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Perkembangan fizikal merujuk kepada perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan perawakan manusia (Woolfolk & Margetts, 2007). Perkembangan fizikal adalah berbeza mengikut umur dan tahap. Sebagai contoh, menurut laporan kajian Thomas W. Rowland dalam bukunya bertajuk Children’s Exercise Physiology, purata berat budak lelaki yang berusia 5 tahun adalah 20 kg manakala purata berat remaja lelaki yang berusia 18 tahun ialah 70 kg. Purata ketinggian bagi remaja lelaki berusia 18 tahun pula ialah 175 cm berbanding budak lelaki yang berusia 5 tahun yang mana purata tinggi mereka adalah 115 cm. Luas permukaan badan bagi remaja lelaki berusia 18 tahun dengan kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun pula adalah masing-masing 1.85 m^2 dan 0.80 m^2 (Rowland, 2005).
Oleh hal yang demikian, adalah lebih mudah jika perkembangan fizikal kanak-kanak ini diklasifikasikan mengikut umur atau tahap-tahap tertentu. Peringkat-peringkat perkembangan fizikal kanak-kanak boleh dibahagikan kepada peringkat prenatal, bayi (lahir sehingga 2 tahun), awal kanak-kanak (2 hingga 6 tahun), kanak-kanak (7-12 tahun) dan awal remaja (12 hingga 15 tahun) (Haliza & Samuel, 2009) .
Peringkat yang pertama iaitu prenatal yang mana jangka waktunya adalah selepas sahaja berlakunya persenyawaan sehinggalah bayi itu dilahirkan. Secara spesifik, durasinya adalah selama 266 hari atau 38 minggu. Peringkat prenatal boleh dibahagikan kepada fasa pembenihan (2 minggu), fasa embrio (minggu 3 hingga minggu 8) dan fasa fetal (bulan ke 3 hingga kelahiran). Fasa pembenihan, fasa embrio dan fasa fetal masing-masing juga dikenali sebagai fasa germa, embrionik dan fetus. Selain itu, terdapat sesetengah pengkaji mengklasifikasikan peringkat ini mengikut trimester. Terdapat tiga trimester pada peringkat ini iaitu trimester 1, trimester 2, dan trimester 3. Fasa pembenihan dan embrio terletak dalam trimester manakala trimester 2 dan trimester 3 terletak dalam fasa fetal.
Pada trimester pertama, hasil daripada percantuman sperma dan ovum akan membentuk zigot. Zigot pula akan membentuk morula yang kemudiannya menjadi blastosista. Blastosista mempunyai dua lapisan iaitu luar dan dalam. Lapisan dalam blastosista akhirnya akan membentuk embrio.
Pada trimester kedua pula, embrio bergerak-gerak dalam cecair amnion dan mendapat zat nutrien dan oksigen melalui tali pusat. Tali pusat ini juga membawa karbon dioksida dan bahan kumuh daripada embrio kepada ibu untuk dikumuhkan. Pada peringkat akhir trimester kedua, embrio sudah menjadi fetus dan berukuran + 32 cm, beratnya + 650 gram dan badannya berisi dengan tisu-tisu lemak.Pada trimester ketiga, posisi kepala fetus sudah berada pada dasar rahim. Fetus juga sudah mempunyai rambut dan panjangnya sudah mencapai 45 cm dan beratnya pula ialah 2.7 kg hingga 3.2 kg.
Peringkat yang seterusnya selepas prenatal ialah peringkat bayi iaitu sebaik sahaja bayi lahir sehingga bayi berusia dua tahun. Purata berat bayi yang baharu dilahirkan ialah lebih kurang 3.5 kg (Haliza & Samuel, 2009). Saiz otak bayi dan komplesitinya pada usia ini semakin bertambah. Gigi susu pada gusi bawah mula kelihatan ketika mereka berusia 6 hingga 8 bulan. Perkembangan otot halus pula semakin maju dengan mereka sudah mampu menggenggam dan mengkoordinasi antara mata dengan tangan.
Pada peringkat bayi, paten tumbesaran dan perkembangan fizikal bayi boleh dikategorikan kepada dua iaitu cephalocaudal dan proximodistal. Cephalocaudal merujuk kepada paten pertumbuhan dan perkembangan fizikal kanak-kanak dari atas ke bawah. Sebagai contoh perkembangan otak dan seterusnya ke bawah. Proximodistal pula merujuk kepada pertumbuhan dan perkembangan fizikal kanak-kanak dari tengah ke tepi seperti pertumbuhan dan perkembangan lengan dahulu barulah diikuti oleh jari-jemari.
Pada usia bayi 4 hingga 8 bulan, bayi akan mempunyai ‘baby fat’ pada lengan, leher dan peha. Pada usia 8 hingga 12 bulan pula, bayi sudah boleh menggunakan penglihatan binocular manakala suhu badannya dipengaruhi oleh persekitaran. Diakhir tahun kedua, bayi sudah boleh melakukan aktiviti kompleks yang melibatkan beberapa langkah seperti mewarna dan memegang pensil. Berat bayi ketika itu adalah tiga kali ganda daripada beratnya semasa lahir dan ‘baby fat’ juga mula hilang.
Tindakan refleks merupakan salah satu ciri bagi seorang bayi yang normal. Tindakan refleks merupakan satu kebolehan automatik dan bukan diajar. Ciri ini diwarisi daripada ibu bapa bayi tersebut. Antara contoh tindakan refleks ialah menyunkur, landau, menelan, mengelip mata, dan menghisap.
Peringkat seterusnya selepas peringkat bayi ialah peringkat awal kanak-kanak yang mana kanak-kanak yang berusia 2 hingga 6 tahun dikelompokkan dalam peringkat ini. Pada peringkat ini, ketinggian kanak-kanak akan bertambah sebanyak 5 hingga 7.5 cm (2-3 inci) setiap tahun. Berat badannya pula akan bertambah sebanyak empat kali ganda daripada beratnya semasa lahir.
Pada peringkat kanak-kanak (7 hingga 12 tahun), proses penggantian gigi susu kepada gigi kekal akan berlaku dan mengambil masa sehingga dua tahun. Pada peringkat ini juga, berat badan kanak-kanak akan bertambah dengan cepat. Untuk ketinggian pula, kanak-kanak perempuan akan bertambah ketinggian sebanyak 8 cm hingga 10 cm manakala kanak-kanak lelaki akan bertambah sebanyak 10 cm hingga 12 cm.
Pada peringkat ini juga tulang kanak-kanak menjadi bertambah panjang dan lebih keras. Namun bilangannya berkurang dari segi jumlah pada bahagian tertentu. Kanak-kanak juga akan menjadi lebih kurus manakala bentuk badan kanak-kanak lelaki dan perempuan mula menunjukkan perbezaan.
Peringkat terakhir dalam perkembangan kanak-kanak adalah peringkat awal remaja yang mana kanak-kanak sudah berusia 12 hingga 15 tahun. Peringkat ini merupakan peringkat kritikal bagi sesetengah remaja yang mana remaja lelaki akan berhenti membesar pada usia 18 tahun manakala kanak-kanak perempuan akan berhenti membesar pada umur 17 tahun. Kulit remaja lelaki juga menjadi semakin kasar dan berminyak manakala untuk remaja perempuan kulit mereka akan menjadi lembut dan berminyak.
Pada peringkat ini, remaja akan mengalami akil baligh. Usia akil baligh berbeza mengikut tahap keseimbangan hormon dalam badan. Kebiasaannya, remaja perempuan akil baligh lebih awal daripada lelaki iaitu pada usia antara 9 tahun hingga 12 tahun. Remaja lelaki pula akan akil baligh pada usia lingkungan 11 tahun hingga 15 tahun.
Akil baligh boleh dibahagikan kepada dua iaitu akil baligh awal dan akil baligh lewat. Akil baligh awal berlaku apabila pertumbuhan seksual berlaku sebelum umurnya kerana faktor-faktor penyakit seperti penyakit otak iaitu tumor dan sebagainya. Akil baligh lewat pula berlaku apabila tiada tanda-tanda perkembangan seksual pada umur akil baligh. Hal ini berlaku kerana keturunan dan keabnormalan.

No comments:

Post a Comment