Sunday 24 January 2010

Prinsip Perkembangan Kanak-Kanak

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Haliza & Samuel (2009) telah menggariskan lima prinsip asas dalam perkembangan kanak-kanak. Prinsip yang pertama ialah proses perkembangan kanak-kanak berlaku secara tertib atau teratur. Hal ini bermaksud perkembangan kanak-kanak mempunyai ‘flow’ atau alirannya yang tersendiri yang mana jika terdapat faktor-faktor negatif yang mengganggu kelancaran aliran ini akan mendatangkan akibat negatif kepada kanak-kanak tersebut.

Sebagai contoh seorang bayi pada awalnya hanya boleh berdiri dengan berpaut kepada dinding atau sesuatu yang boleh dipautnya, kemudian bayi tersebut sudah boleh berdiri tanpa jatuh dan kemudiannya akan bertatih yang diikuti dengan berjalan. Menjadi kebiasaan jika kanak-kanak yang baharu belajar berdiri dan berjalan akan jatuh. Tetapi terdapat sesetengah ibu bapa yang sangat risau akan hal ini dan sangat menjaga anak mereka dengan tidak membenarkan bayi mereka mencuba untuk berdiri atau berjalan. Impaknya, kelancaran aliran atau ‘flow’ yang sudah menjadi fitrah terganggu dan akan merencatkan perkembangan kanak-kanak tersebut.

Prinsip yang kedua ialah perubahan dalam pertumbuhan dan perkembangan beransur daripada keadaan umum kepada keadaan spesifik. Hal ini sangat berkait rapat dengan perkembangan fizikal kanak-kanak yang mana pertumbuhan berlaku dengan pertumbuhan otot-otot besar terlebih dahulu sebelum beransur ke otot-otot halus. Contoh yang paling jelas ialah kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dapat menulis dengan meniru abjad ABC dengan betul dan cantik berbanding kanak-kanak berumur tiga tahun yang masih belum cekap dalam menulis.

Perkembangan otot kanak-kanak mengambil masa yang mana otot-otot besar berkembang terlebih dahulu sebelum beransur ke otot-otot halus. Hal ini membukitkan bahawa perubahan dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak beransur daripada keadaan umum kepada keadaan spesifik.

Prinsip asas perkembangan kanak-kanak ke tiga yang ditekankan oleh Haliza & Samuel (2009) adalah pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berlaku secara berterusan. Dalam proses perkembangan, kanak-kanak akan menambah kemahiran yang mereka sedia ada. Kemahiran yang pada mereka sekarang akan dijadikan asas untuk mencapai kemahiran-kemahiran baharu kelak.

Sebagai contoh, pada umur tiga tahun seorang kanak-kanak akan belajar cara untuk memegang pensil, pada umur lima tahun pula kanak-kanak tersebut akan menggunakan kemahiran memegang pensil yang mereka ada untuk belajar menulis. Pada usia tujuh tahun pula, kanak-kanak tersebut akan menggunakan kemahiran menulis yang mereka ada untuk belajar menulis beberapa patah perkataan atau membina ayat. Pada usia sepuluh tahun pula kanak-kanak tersebut akan menggunakan kemahiran membina ayat yang telah dia kuasai pada usia tujuh tahun untuk membina karangan. Berdasarkan contoh yang diberikan dapatlah dirumuskan bahawa pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berlaku secara berterusan.

Corak dan aturan perkembangan adalah hampir sama tetapi kadar perkembangan manusia berbeza untuk setiap individu merupakan prinsip keempat asas perkembangan kanak-kanak. Misalnya, sesetengah kanak-kanak dapat berjalan pada umur 10 bulan manakala ada yang hanya boleh berjalan pada usia 18 bulan. Prinsip juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan setiap individu berbeza.

Prinsip terakhir ialah perkembangan adalah hasil interaksi antara kematangan dan pembelajaran. Sebagai contoh perkembangan otot dan saraf anggota badan yang sempurna memungkinkan seseorang itu menari tarian Zapin tetapi dia hanya boleh menari tarian Zapin jika berlatih atau meniru langkah-langkah tarian yang betul.

Proses pembelajaran membantu kanak - kanak memperkembangkan potensi yang sedia ada dalam dirinya. Kedua-dua unsur ini, iaitu kematangan dan pembelajaran, merupakan elemen yang sangat berkait rapat dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Menurut Larivée (2008), profesor pendidikan psikologi di Université de Montréal, gandingan antara kematangan kognitif dan tahap pemikiran yang diperoleh dari sekolah akan membolehkan kanak-kanak berusia tujuh tahun untuk membezakan antara imaginasi dengan realiti. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa hasil interaksi antara kematangan dan pembelajaran akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment