Sunday 24 January 2010

FALSAFAH PENDIDIKAN PROGRESIVISME

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Falsafah ini wujud pada abad ke 20, tetapi sebenarnya pada akhir abad 19 ianya sudah bermula. Ianya berkembang daripada falsafah pragmatisme dan kemudian dibentuk untuk tujuan pendidikan oleh John Dewey. Pada tahun 1915, buku yang pertama diterbitkan adalah School of Tomorrow dan kemudiannya pertubuhan pendidikan progresivisme ditubuhkan empat tahun kemudian. Selepas 30 tahun pertubuhan ini bergerak, barulah ia membawa kesan kepada pendidikan. Pada peringkat awalnya, ianya bersifat individualistik tetapi akhir 1930 an barulah ia menumpukan kepada perubahan sosial.

Falsafah ini berbeza daripada skolatisisme, perenalisme dan essentialisme. Hal ini kerana progresivisme lebih menumpukan perhatian kepada dunia sekarang iaitu masyarakat masa kini. Progresivisme merupakan pendidikan yang berpusat pada individu dan memberi penekanan lebih besar pada kreativiti, aktiviti, belajar “naturalistik”, hasil belajar “dunia nyata”, dan juga pengalaman teman sebaya. Ia juga bermaksud memberi kemahiran dan alat yang diperlukan kepada individu untuk berinteraksi dengan persekitaran yang sentiasa berubah secara konsisten. Segala kemahiran perlu di ajar kepada individu untuk membantu mereka mengenalpasti, menganalisa dan menyelesaikan sesuatu masalah dan membolehkan individu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dalam kehidupannya.
Dalam konsep progresivisme, matlamat pendidikan yang ditonjolkan ialah untuk menyediakan golongan murid agar berupaya mengakomodasi sebarang perubahan yang berlaku dalam kehidupan seharian (Keow, 2008). Individu yang berilmu dan berpendidikan sebaik-baiknya berkebolehan untuk mencari alternatif penyelesaian yang sesuai dengan masalah yang timbul dalam lingkungan persekitarannya.
Implikasi teori progresivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran seorang guru ialah guru tidak perlu memberi penerangan secara am atau terperinci terhadap sesuatu pelajaran tetapi pelajar perlu membentuk penerangan sendiri. Di sini, guru hanya sebagai pemerhati sahaja dalam kelas. Pendekatan seperti ini dipanggil sebagai pendekatan induktif dan amat sesuai dilaksanakan untuk memastikan pelajar lebih memahami mata pelajaran tersebut. Selain hal itu, kaedah saintifik dalam penyelidikan dan penyelesaian masalah merupakan kaedah yang diterima dalam falsafah pendidikan progresivisme. Guru tidak hanya menyuruh pelajar menghafal dan mengingati sesuatu perkara, tetapi menyuruh mereka menyelidik sesuatu perkara dan menyelesaikan dengan sendiri untuk meningkatkan kefahaman mereka.

Implikasi falsafah ini juga adalah, kebebasan diberikan kepada pelajar bagi mengejar apa sahaja ilmu dan kemahiran yang diminatinya untuk perkembangan mental, jasmani dan rohaniya. Contohnya, seperti yang telah diimplimentasikan oleh kerajaan kini, bermula pada tingkatan empat, pelajar telah diberikan peluang untuk memilih bidang pengajian mengikut pakej-pakej yang diminati dengan seluas-luasnya. Cuba fahami situasi ini:

Sekumpulan pelajar membuat satu eksperimen tentang proses fotosintesis.
Guru kelas mereka hanya sekadar membimbing kaedah berlakunya
proses itu tetapi guru mereka memberi peluang
kepada setiap pelajarnya untuk membuat penjelasan tentang proses itu.

Situasi ini menunjukkan guru itu memberi peluang kepada pelajarnya untuk mencari keterangan masing-masing bagi menjelaskan proses fotosintesis itu.

Dalam konteks progresivisme, seseorang guru berperanan sebagai seorang pembimbing dan membantu anak murid dalam apa jua aspek terutamanya dalam aspek akademik. Seorang guru juga perlu menjadi pengurus iaitu pengurus pengajaran yang bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajarang kondusif dan menarik, mengemukakan soalan yang meransangkan pemikiran anak anak murid. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran matematik, guru memberikan soalan matematik yang bukan dalam persekitaran anak murid mereka. Ini bertujuan agar mereka memikir sesuatu yang baru di luar pemikiran mereka. Guru juga membimbing minat anak murid mereka ke arah yang produktif.Ini dapat menjadikan pelajar yang dilahirkan bagus dan berguna pada masa akan datang.

2 comments: