Sunday 24 January 2010

FALSAFAH PENDIDIKAN EKSISTENSIALISME

OLEH: ZIHAM ZAWAWI MAZLAN

Aliran pemikiran eksistensialisme ini muncul pada abad ke-19 dan ke-20 dan di pelopori oleh seorang berketurunan Yahudi, Jean-Paul Satre (Kailani, 2002). Mazhab ini juga didukung oleh individu seperti: ahli falsafah dan teologi Denmark, Soren Kierkegaard (1813-55), tokoh atheis Jerman, Friedrich Nietzsche (1844-1900), ahli ontologi Jerman, Martin Heidegger (1889-1976), ahli falsafah Katolik Perancis, Gabriel Marcel (1889-1973), ahli falsafah dan pakar psikiatri Jerman, Karl Jaspers (1883-1969), novelis dan ahli falsafah Perancis, Simone de Beauvoir (1908-86) dan ahli fenomenologis Perancis, Maurice Merleau-Ponty (1908-61) (Priest, 2001).

Aliran mazhab eksistensialisme ini berfokuskan kepada fitrah kewujudan manusia. Dengan kata lain, manusia dianggap sebagai dilahirkan tanpa sebarang tujuan (Keow, 2008). Adakah anda bersetuju? Ahli-ahli eksistensialisme dan para pengikutnya hanya melihat realiti sebagai sesuatu yang bersifat subjektif dan hanya boleh didefinisikan oleh individu yang berkenaan sahaja.

Aliran mazhab ini mula memasuki aliran pemikiran masyarakat lewat tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua. Satre mula menggunakan perkataan ‘existentialism’ atau eksistensialisme dalam satu kuliahnya yang terkenal iaitu pada Oktober 1945 yang bertajuk Existentialisme and Humanism (L’Existentialisme est un Humanisme).Berdasarkan kuliah yang diberikan oleh Satre, aliran pemikiran ini berpandangan bahawa seseorang individu seharusnya bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan mempunyai kebebasan untuk menentukan matlamat serta membuat keputusan sendiri tanpa merujuk sebarang autoriti luar.

Berdasarkan konsep di atas, sistem sekolah atau guru tidak mempunyai hak untuk menekankan matlamat pendidikan ke atas murid. Oleh hal yang demikian matlamat pendidikan tidak digariskan. Selain hal itu, mazhab ini juga tidak menggariskan subjek-subjek yang perlu diajarkan di sekolah. Walaubagaimanapun, subjek-subjek yang bersifat estetik dan berfalsafah seperti seni, kesusasteraan, dan drama difikirkan relevan.

Dari aspek guru pula, guru berperanan sebagai pemangkin yang menyediakan peluang pendidikan bagi anak murid mereka meluahkan perasaan dan emosi. Guru juga perlu menggunakan teknik atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan aktiviti serta berpusatkan murid-murid. Sejajar dengan kaedah yang digunakan oleh guru, murid-murid pula perlu melibatkan diri secara aktif agar dapat memaksimumkan peluang pendidikan yang disediakan. Untuk lebih memahami lagi asimilasi aliran mazhab ini dalam konteks pendidikan, cuba fahami situasi ini.

Hari ini, Cikgu Reeni mengajar tentang haiwan yang
memakan daging. Esok Cikgu Reeni bercadang untuk
mengajar tentang haiwan pula. Untuk itu, Cikgu Reeni
bertanyakan kepada anak muridnya jika mereka mahu
belajar tentang haiwan herbivor pula. Jika semua muridnya
bersetuju, Cikgu Reeni memberi arahan kepada anak
muridnya agar datang ke kelasnya pada esok hari dengan
membawa bahan-bahan yang telah diambil dari buku,
internet, majalah dan sebagainya.

Daripada situasi di atas dapatlah dirumuskan bahawa Cikgu Reeni menggunakan falsafah eksistensialisme dalam proses pengajaran dan pembelajarannya dengan memberi kebebasan kepada anak muridnya untuk memilih tajuk yang ingin dipelajari dan bebas memilih bahan yang ingin digunakan semasa P&P nanti.

7 comments:

  1. tima kasih ea ats bntuan nota2...
    snang sikit buat nk buat presentation. :)

    ReplyDelete
  2. bahan pengajaran yang bagus

    minta izin untuk menyebarkannya..

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Kiranya fahaman eksistensialisme ini kurang dalam pendidikan di Malaysia la kan?

    ReplyDelete