Monday 13 June 2011

Perbandingan Tamadun Jepun dengan Tamadun Islam

Walaupun kedudukan ketamadunan Jepun dan tamadun Islam adalah sangat jauh dari segi lokatifnya, namun hal ini tidak membataskan proses pemindahan dan asimilasi budaya dilakukan. Memang tampak dengan jelas perbezaan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Jepun, terutama dari aspek kerohanian, namun perbezaan inilah yang akan dijadikan titik permulaan untuk mencari horizon persamaan.

Dari apek kerohanian memang tampak jelas bahawa ketamadunan Islam digerakkan dan disandarkan secara total ke atas agama Islam manakala ketamadunan Jepun menjadikan agama Shinto dan Buddha serta beberapa ajaran lain sebagai makanan rohani mereka. Namun perbezaan dari segi kerohanian ini tidak menjadikan kedua-dua ketamadunan ini berbeza secara total. Cuba kita lihat dan renungkan potongan ayat al-Quran ini;

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian , kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik dan salig berpesan satu sama lain dengan kebenaran serta bersabar.”
(surah al-Asr :1-3)

Seperti yang seluruh dunia tahu, masyarakat Jepun sememangnya dikenali sebagai satu bangsa yang amat menepati masa dan tidak suka masyarakatnya membazir masa. Sikap inilah yang menjadikan masyarakat Jepun sebagai satu masyarakat yang maju dan disegani pada hari ini. Sifat dan sikap masyarakat Jepun ini sangat bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Asr ayat 1-3. Hal ini membuktikan bahawa ajaran yang terkandung di dalam al-Quran sememangnya tepat dan relevan dengan masa sekarang.

Selain itu masyarakat Jepun juga mengamal pemakanan yang amat bebas. Penduduk Jepun berpegang kepada konsep hidup untuk makan. Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya makan sekadar perlu dan berkonsepkan makan untuk hidup.

“… makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan.”
Surah al-A’raf ayat 31

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T. menyuruh hambanya makan sekadar untuk mengisi perut. Selain itu Rasulullah juga telah bersabda agat umatnya makan hanya ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Kesenian setiap ketamadunan secara kolektifnya menunjukkan kemajuan akal dan pemikiran tamadun tersebut. Semakin kompleks seni yang ditatarkan maka semakin bijaklah tahap kepandaian tamadun tersebut. Hakikatnya, kesenian ketamadunan Islam banyak menggunakan unsur alam flora dan geometri dalam setiap hasil keseniannya. Hal ini selari dengan anjuran Islam yang melarang penggunaan unsur benda-benda hidup dalam hasil estetikanya. Ketamadunan Jepun pula secara totalnya dipengaruhi oleh agama Shinto dan Buddha atau dalam kata lain banyak menggunakan unsur-unsur benda hidup dalam hasil estetikanya.


No comments:

Post a Comment