Sunday 24 January 2010

Hampiri sempurna

Tatkala teringat manis senyum mu
Ku lihat bulan sabit disimbah mentari
Lesung pipit mu
Tangis mu di kala berduka
Gurau senda di tepi tasik
Muzikindah dan sinar mentari
Akan ku ingat sampai mati
Akan ku bawa menunggu kau di syurga abadi
Walau aku bukan Muhamad
Walau aku bukan Yusuf
Walau aku bukan ibrahim
Paling tidak
Aku menghampiri sesempurna
Aku cuba

Bulan II

Aku adalah bulan
Dalam gelap aku terang
Kerna gelap aku ada
Kau adalah gelap
Kerna bulan kau gelap
Kerna aku ada kau
Dalam gelap kita berbagi
Dalam gelap kita bahagia

guling-guling

Gulang guling lagi
Pagi pagi lagi
Pergilah kau kebodohan abadi
Jangan menoleh ke aku lagi

Benci

Tak perlu berkongsi kasih
Kalau hati dilurut nafsu
Tak usah melafaz cinta
Kalau mulut membisu kaku
Aku benci kamu!

jangan

Bulan jangan jumpa awan
Jangan biar alam kelam
Kerna pungguk ternanti-nanti

Pungguk jangan rindukan bulan
Jangan biar awan pergi
Kerna alam akan kelam

Aku tak mahu alam kelam
Aku tak mahu bulan dan awan
Aku juga tak mahukan pungguk
Aku tak mahukan apa-apa
Kerna aku tak mampu
Aku tak lalu
Dan aku tak mahu

Bulan
Awan
Pungguk
Dan kelam

Terbosan kaku

Sumpah seranah cerna
Dah penat dah
Jemu dah
Mengapa begini
Aku pun tak tahu
Mungkin tak cukup usaha
mungkin ada silap di mana-mana
mungkin bukan rezeki
aku terpaksa menunggu
kaku

Rindu

Rindu
Dan kerinduan
Kini datang lagi
Aku rindu kerinduan
Kerana
Kerinduan itu indah
Sebab ia bukan kegusaran
Ia bukan keresahan
Bukan juga kemarahan
Cuma mereka salah tafsir
Salah percaya
Salah faham
Kerinduan yang indah itu pasti

FALSAFAH PENDIDIKAN REKONSTRUKTIVISME

OLEH: ZIHAM ZAWAWI MAZLAN

Rekonstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran fahaman progresivisme dan menjadi suatu falsafah sendiri. Perkataan Rekonstruksionisme ataupun reconstruct dalam bahasa Inggeris membawa maksud menyusun kembali. Pelopor utama aliran fahaman rekonstruktivisme ialah George S. Counts (1899-1974) dan Harold O. Rugg (1886-1960), kedua-duanya adalah penyokong pragmatisme John Dewey.

Menurut ahli rekonstruktivisme, sekolah dianggap sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan keadaan hidup manusia. Ini bertepatan dengan tujuan asal pelopor-pelopor utama aliran ini iaitu membaiki dan membina semula masyarakat. Sehubungan itu, sekolah merupakan satu landasan yang amat sesuai yang mana suatu masyarakat baru boleh dibentuk kerana aliran rekonstruktivisme ini bermatlamatkan untuk mengasaskan corak budaya baru serta menghapuskan penyakit sosial selain bertujuan untuk mengenalpasti masalah sosial yang menjejaskan pembangunan masyarakat dan menimbulkan krisis budaya.

Sehubungan itu, sekolah seharusnya menjadi sesuatu organisasi yang mengamalkan prinsip rekonstruktivisme. Hal ini memerlukan pelajar mematuhi segala prinsip tingkah laku yang ditentukan dan berusaha mempertingkatkan kualiti pembelajaran mereka. Dalam usaha membina masyarakat baru, teori rekonstruktivisme menumpukan usaha kepada perkembangan ekonomi dan kebajikan sosial manusia. Mereka percaya bahawa sekolah boleh memainkan peranan membentuk semula masyarakat yang harmoni dan sempurna. Maka, peranan guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga, yang lebih pentingnya, membawa isu-isu sosial yang penting untuk dibincang dan diselesaikan secara usahasama. Guru juga hendaklah menjadi agen perubahan dan pembaharuan dengan kaedah pengajaran yang kreatif dan inovatif. Ringkas kata, teori rekonstruktivisme menekankan teknik perbincangan dan penggunaaan kemahiran berjikir kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah. Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, bahan-bahan pelajaran hendaklah distrukturkan secara sistematik dan bersepadu. Mata pelajaran kemanusiaan hendaklah menjadi fokus utama dalam rancangan kurikulum sekolah, agar membentuk pelajar yang berperikemanusiaan, berlandaskan kebudayaan masyarakat yang ideal. Fahami situasi berikut:-
Cikgu Ooi mengajar subjek kajian tempatan di Sekolah Kebangsaan
Kampung Parit Betek. Selain mengajar tentang subjek Kajian Tempatan
di kelasnya, Cikgu Ooi juga sering menerapkan nilai-nilai murni dalam proses P&Pnya. Cikgu ooi juga selalu mengajukan soalan bertanyakan
pendapat murid-murid tentang isu-isu sosial yang sedang hangat
diperkatakan dan kadang-kadang beliau sering mengadakan perbincangan
bersama-sama murid-muridnya tentang isu-isu semasa dan isu-isu sosial
yang sedang hangat melanda masyarakat.

Melalui contoh di atas, dapatlah difahami bagaimana aplikasi seorang guru tentang aliran mazhab rekonstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam usaha membentuk semula masyarakat agar menjadi masyarakat yang bersikap positif

FALSAFAH PENDIDIKAN PROGRESIVISME

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Falsafah ini wujud pada abad ke 20, tetapi sebenarnya pada akhir abad 19 ianya sudah bermula. Ianya berkembang daripada falsafah pragmatisme dan kemudian dibentuk untuk tujuan pendidikan oleh John Dewey. Pada tahun 1915, buku yang pertama diterbitkan adalah School of Tomorrow dan kemudiannya pertubuhan pendidikan progresivisme ditubuhkan empat tahun kemudian. Selepas 30 tahun pertubuhan ini bergerak, barulah ia membawa kesan kepada pendidikan. Pada peringkat awalnya, ianya bersifat individualistik tetapi akhir 1930 an barulah ia menumpukan kepada perubahan sosial.

Falsafah ini berbeza daripada skolatisisme, perenalisme dan essentialisme. Hal ini kerana progresivisme lebih menumpukan perhatian kepada dunia sekarang iaitu masyarakat masa kini. Progresivisme merupakan pendidikan yang berpusat pada individu dan memberi penekanan lebih besar pada kreativiti, aktiviti, belajar “naturalistik”, hasil belajar “dunia nyata”, dan juga pengalaman teman sebaya. Ia juga bermaksud memberi kemahiran dan alat yang diperlukan kepada individu untuk berinteraksi dengan persekitaran yang sentiasa berubah secara konsisten. Segala kemahiran perlu di ajar kepada individu untuk membantu mereka mengenalpasti, menganalisa dan menyelesaikan sesuatu masalah dan membolehkan individu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dalam kehidupannya.
Dalam konsep progresivisme, matlamat pendidikan yang ditonjolkan ialah untuk menyediakan golongan murid agar berupaya mengakomodasi sebarang perubahan yang berlaku dalam kehidupan seharian (Keow, 2008). Individu yang berilmu dan berpendidikan sebaik-baiknya berkebolehan untuk mencari alternatif penyelesaian yang sesuai dengan masalah yang timbul dalam lingkungan persekitarannya.
Implikasi teori progresivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran seorang guru ialah guru tidak perlu memberi penerangan secara am atau terperinci terhadap sesuatu pelajaran tetapi pelajar perlu membentuk penerangan sendiri. Di sini, guru hanya sebagai pemerhati sahaja dalam kelas. Pendekatan seperti ini dipanggil sebagai pendekatan induktif dan amat sesuai dilaksanakan untuk memastikan pelajar lebih memahami mata pelajaran tersebut. Selain hal itu, kaedah saintifik dalam penyelidikan dan penyelesaian masalah merupakan kaedah yang diterima dalam falsafah pendidikan progresivisme. Guru tidak hanya menyuruh pelajar menghafal dan mengingati sesuatu perkara, tetapi menyuruh mereka menyelidik sesuatu perkara dan menyelesaikan dengan sendiri untuk meningkatkan kefahaman mereka.

Implikasi falsafah ini juga adalah, kebebasan diberikan kepada pelajar bagi mengejar apa sahaja ilmu dan kemahiran yang diminatinya untuk perkembangan mental, jasmani dan rohaniya. Contohnya, seperti yang telah diimplimentasikan oleh kerajaan kini, bermula pada tingkatan empat, pelajar telah diberikan peluang untuk memilih bidang pengajian mengikut pakej-pakej yang diminati dengan seluas-luasnya. Cuba fahami situasi ini:

Sekumpulan pelajar membuat satu eksperimen tentang proses fotosintesis.
Guru kelas mereka hanya sekadar membimbing kaedah berlakunya
proses itu tetapi guru mereka memberi peluang
kepada setiap pelajarnya untuk membuat penjelasan tentang proses itu.

Situasi ini menunjukkan guru itu memberi peluang kepada pelajarnya untuk mencari keterangan masing-masing bagi menjelaskan proses fotosintesis itu.

Dalam konteks progresivisme, seseorang guru berperanan sebagai seorang pembimbing dan membantu anak murid dalam apa jua aspek terutamanya dalam aspek akademik. Seorang guru juga perlu menjadi pengurus iaitu pengurus pengajaran yang bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajarang kondusif dan menarik, mengemukakan soalan yang meransangkan pemikiran anak anak murid. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran matematik, guru memberikan soalan matematik yang bukan dalam persekitaran anak murid mereka. Ini bertujuan agar mereka memikir sesuatu yang baru di luar pemikiran mereka. Guru juga membimbing minat anak murid mereka ke arah yang produktif.Ini dapat menjadikan pelajar yang dilahirkan bagus dan berguna pada masa akan datang.

FALSAFAH PENDIDIKAN EKSISTENSIALISME

OLEH: ZIHAM ZAWAWI MAZLAN

Aliran pemikiran eksistensialisme ini muncul pada abad ke-19 dan ke-20 dan di pelopori oleh seorang berketurunan Yahudi, Jean-Paul Satre (Kailani, 2002). Mazhab ini juga didukung oleh individu seperti: ahli falsafah dan teologi Denmark, Soren Kierkegaard (1813-55), tokoh atheis Jerman, Friedrich Nietzsche (1844-1900), ahli ontologi Jerman, Martin Heidegger (1889-1976), ahli falsafah Katolik Perancis, Gabriel Marcel (1889-1973), ahli falsafah dan pakar psikiatri Jerman, Karl Jaspers (1883-1969), novelis dan ahli falsafah Perancis, Simone de Beauvoir (1908-86) dan ahli fenomenologis Perancis, Maurice Merleau-Ponty (1908-61) (Priest, 2001).

Aliran mazhab eksistensialisme ini berfokuskan kepada fitrah kewujudan manusia. Dengan kata lain, manusia dianggap sebagai dilahirkan tanpa sebarang tujuan (Keow, 2008). Adakah anda bersetuju? Ahli-ahli eksistensialisme dan para pengikutnya hanya melihat realiti sebagai sesuatu yang bersifat subjektif dan hanya boleh didefinisikan oleh individu yang berkenaan sahaja.

Aliran mazhab ini mula memasuki aliran pemikiran masyarakat lewat tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua. Satre mula menggunakan perkataan ‘existentialism’ atau eksistensialisme dalam satu kuliahnya yang terkenal iaitu pada Oktober 1945 yang bertajuk Existentialisme and Humanism (L’Existentialisme est un Humanisme).Berdasarkan kuliah yang diberikan oleh Satre, aliran pemikiran ini berpandangan bahawa seseorang individu seharusnya bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan mempunyai kebebasan untuk menentukan matlamat serta membuat keputusan sendiri tanpa merujuk sebarang autoriti luar.

Berdasarkan konsep di atas, sistem sekolah atau guru tidak mempunyai hak untuk menekankan matlamat pendidikan ke atas murid. Oleh hal yang demikian matlamat pendidikan tidak digariskan. Selain hal itu, mazhab ini juga tidak menggariskan subjek-subjek yang perlu diajarkan di sekolah. Walaubagaimanapun, subjek-subjek yang bersifat estetik dan berfalsafah seperti seni, kesusasteraan, dan drama difikirkan relevan.

Dari aspek guru pula, guru berperanan sebagai pemangkin yang menyediakan peluang pendidikan bagi anak murid mereka meluahkan perasaan dan emosi. Guru juga perlu menggunakan teknik atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan aktiviti serta berpusatkan murid-murid. Sejajar dengan kaedah yang digunakan oleh guru, murid-murid pula perlu melibatkan diri secara aktif agar dapat memaksimumkan peluang pendidikan yang disediakan. Untuk lebih memahami lagi asimilasi aliran mazhab ini dalam konteks pendidikan, cuba fahami situasi ini.

Hari ini, Cikgu Reeni mengajar tentang haiwan yang
memakan daging. Esok Cikgu Reeni bercadang untuk
mengajar tentang haiwan pula. Untuk itu, Cikgu Reeni
bertanyakan kepada anak muridnya jika mereka mahu
belajar tentang haiwan herbivor pula. Jika semua muridnya
bersetuju, Cikgu Reeni memberi arahan kepada anak
muridnya agar datang ke kelasnya pada esok hari dengan
membawa bahan-bahan yang telah diambil dari buku,
internet, majalah dan sebagainya.

Daripada situasi di atas dapatlah dirumuskan bahawa Cikgu Reeni menggunakan falsafah eksistensialisme dalam proses pengajaran dan pembelajarannya dengan memberi kebebasan kepada anak muridnya untuk memilih tajuk yang ingin dipelajari dan bebas memilih bahan yang ingin digunakan semasa P&P nanti.

Konsep Perkembangan Kanak-Kanak

Menurut Woolfolk dan Margetts (2007), perkembangan fizikal ditafsirkan sebagai perubahan tubuh badan, perkembangan kognitif sebagai perubahan pemikiran, perkembangan sosial sebagai perubahan hubungan dengan individu lain dan perkembangan emosi sebagai perubahan dalam kefahaman, ekspresi dan pengurusan emosi.

D.S. Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam baka dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur.

Menurut Atan Long pula, perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Tambahan pula, perkembangan sentiasa berlaku secara berterusan dari permulaan percambahan hingga ke akhir hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat matang, tetapi perkembangan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan dilampaui. Tegasnya, perkembangan sentiasa berlaku terus-menerus, dari awal sehingga akhir hayat sesuatu organisma.

Proses perkembangan bagi sesuatu organisma itu sudah sedia terancang dalam gen-gen yang diwarisi daripada keturunan yang terdahulu. Bagi sesuatu jenis organisma, sifat umum jenis itu iaitu phylogenetic adalah serupa. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak yang lain.

Perkembangan Fizikal Kanak-Kanak

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Perkembangan fizikal merujuk kepada perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan perawakan manusia (Woolfolk & Margetts, 2007). Perkembangan fizikal adalah berbeza mengikut umur dan tahap. Sebagai contoh, menurut laporan kajian Thomas W. Rowland dalam bukunya bertajuk Children’s Exercise Physiology, purata berat budak lelaki yang berusia 5 tahun adalah 20 kg manakala purata berat remaja lelaki yang berusia 18 tahun ialah 70 kg. Purata ketinggian bagi remaja lelaki berusia 18 tahun pula ialah 175 cm berbanding budak lelaki yang berusia 5 tahun yang mana purata tinggi mereka adalah 115 cm. Luas permukaan badan bagi remaja lelaki berusia 18 tahun dengan kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun pula adalah masing-masing 1.85 m^2 dan 0.80 m^2 (Rowland, 2005).
Oleh hal yang demikian, adalah lebih mudah jika perkembangan fizikal kanak-kanak ini diklasifikasikan mengikut umur atau tahap-tahap tertentu. Peringkat-peringkat perkembangan fizikal kanak-kanak boleh dibahagikan kepada peringkat prenatal, bayi (lahir sehingga 2 tahun), awal kanak-kanak (2 hingga 6 tahun), kanak-kanak (7-12 tahun) dan awal remaja (12 hingga 15 tahun) (Haliza & Samuel, 2009) .
Peringkat yang pertama iaitu prenatal yang mana jangka waktunya adalah selepas sahaja berlakunya persenyawaan sehinggalah bayi itu dilahirkan. Secara spesifik, durasinya adalah selama 266 hari atau 38 minggu. Peringkat prenatal boleh dibahagikan kepada fasa pembenihan (2 minggu), fasa embrio (minggu 3 hingga minggu 8) dan fasa fetal (bulan ke 3 hingga kelahiran). Fasa pembenihan, fasa embrio dan fasa fetal masing-masing juga dikenali sebagai fasa germa, embrionik dan fetus. Selain itu, terdapat sesetengah pengkaji mengklasifikasikan peringkat ini mengikut trimester. Terdapat tiga trimester pada peringkat ini iaitu trimester 1, trimester 2, dan trimester 3. Fasa pembenihan dan embrio terletak dalam trimester manakala trimester 2 dan trimester 3 terletak dalam fasa fetal.
Pada trimester pertama, hasil daripada percantuman sperma dan ovum akan membentuk zigot. Zigot pula akan membentuk morula yang kemudiannya menjadi blastosista. Blastosista mempunyai dua lapisan iaitu luar dan dalam. Lapisan dalam blastosista akhirnya akan membentuk embrio.
Pada trimester kedua pula, embrio bergerak-gerak dalam cecair amnion dan mendapat zat nutrien dan oksigen melalui tali pusat. Tali pusat ini juga membawa karbon dioksida dan bahan kumuh daripada embrio kepada ibu untuk dikumuhkan. Pada peringkat akhir trimester kedua, embrio sudah menjadi fetus dan berukuran + 32 cm, beratnya + 650 gram dan badannya berisi dengan tisu-tisu lemak.Pada trimester ketiga, posisi kepala fetus sudah berada pada dasar rahim. Fetus juga sudah mempunyai rambut dan panjangnya sudah mencapai 45 cm dan beratnya pula ialah 2.7 kg hingga 3.2 kg.
Peringkat yang seterusnya selepas prenatal ialah peringkat bayi iaitu sebaik sahaja bayi lahir sehingga bayi berusia dua tahun. Purata berat bayi yang baharu dilahirkan ialah lebih kurang 3.5 kg (Haliza & Samuel, 2009). Saiz otak bayi dan komplesitinya pada usia ini semakin bertambah. Gigi susu pada gusi bawah mula kelihatan ketika mereka berusia 6 hingga 8 bulan. Perkembangan otot halus pula semakin maju dengan mereka sudah mampu menggenggam dan mengkoordinasi antara mata dengan tangan.
Pada peringkat bayi, paten tumbesaran dan perkembangan fizikal bayi boleh dikategorikan kepada dua iaitu cephalocaudal dan proximodistal. Cephalocaudal merujuk kepada paten pertumbuhan dan perkembangan fizikal kanak-kanak dari atas ke bawah. Sebagai contoh perkembangan otak dan seterusnya ke bawah. Proximodistal pula merujuk kepada pertumbuhan dan perkembangan fizikal kanak-kanak dari tengah ke tepi seperti pertumbuhan dan perkembangan lengan dahulu barulah diikuti oleh jari-jemari.
Pada usia bayi 4 hingga 8 bulan, bayi akan mempunyai ‘baby fat’ pada lengan, leher dan peha. Pada usia 8 hingga 12 bulan pula, bayi sudah boleh menggunakan penglihatan binocular manakala suhu badannya dipengaruhi oleh persekitaran. Diakhir tahun kedua, bayi sudah boleh melakukan aktiviti kompleks yang melibatkan beberapa langkah seperti mewarna dan memegang pensil. Berat bayi ketika itu adalah tiga kali ganda daripada beratnya semasa lahir dan ‘baby fat’ juga mula hilang.
Tindakan refleks merupakan salah satu ciri bagi seorang bayi yang normal. Tindakan refleks merupakan satu kebolehan automatik dan bukan diajar. Ciri ini diwarisi daripada ibu bapa bayi tersebut. Antara contoh tindakan refleks ialah menyunkur, landau, menelan, mengelip mata, dan menghisap.
Peringkat seterusnya selepas peringkat bayi ialah peringkat awal kanak-kanak yang mana kanak-kanak yang berusia 2 hingga 6 tahun dikelompokkan dalam peringkat ini. Pada peringkat ini, ketinggian kanak-kanak akan bertambah sebanyak 5 hingga 7.5 cm (2-3 inci) setiap tahun. Berat badannya pula akan bertambah sebanyak empat kali ganda daripada beratnya semasa lahir.
Pada peringkat kanak-kanak (7 hingga 12 tahun), proses penggantian gigi susu kepada gigi kekal akan berlaku dan mengambil masa sehingga dua tahun. Pada peringkat ini juga, berat badan kanak-kanak akan bertambah dengan cepat. Untuk ketinggian pula, kanak-kanak perempuan akan bertambah ketinggian sebanyak 8 cm hingga 10 cm manakala kanak-kanak lelaki akan bertambah sebanyak 10 cm hingga 12 cm.
Pada peringkat ini juga tulang kanak-kanak menjadi bertambah panjang dan lebih keras. Namun bilangannya berkurang dari segi jumlah pada bahagian tertentu. Kanak-kanak juga akan menjadi lebih kurus manakala bentuk badan kanak-kanak lelaki dan perempuan mula menunjukkan perbezaan.
Peringkat terakhir dalam perkembangan kanak-kanak adalah peringkat awal remaja yang mana kanak-kanak sudah berusia 12 hingga 15 tahun. Peringkat ini merupakan peringkat kritikal bagi sesetengah remaja yang mana remaja lelaki akan berhenti membesar pada usia 18 tahun manakala kanak-kanak perempuan akan berhenti membesar pada umur 17 tahun. Kulit remaja lelaki juga menjadi semakin kasar dan berminyak manakala untuk remaja perempuan kulit mereka akan menjadi lembut dan berminyak.
Pada peringkat ini, remaja akan mengalami akil baligh. Usia akil baligh berbeza mengikut tahap keseimbangan hormon dalam badan. Kebiasaannya, remaja perempuan akil baligh lebih awal daripada lelaki iaitu pada usia antara 9 tahun hingga 12 tahun. Remaja lelaki pula akan akil baligh pada usia lingkungan 11 tahun hingga 15 tahun.
Akil baligh boleh dibahagikan kepada dua iaitu akil baligh awal dan akil baligh lewat. Akil baligh awal berlaku apabila pertumbuhan seksual berlaku sebelum umurnya kerana faktor-faktor penyakit seperti penyakit otak iaitu tumor dan sebagainya. Akil baligh lewat pula berlaku apabila tiada tanda-tanda perkembangan seksual pada umur akil baligh. Hal ini berlaku kerana keturunan dan keabnormalan.

Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Fizikal dan Kognitif Kanak-kanak

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Perkembangan seseorang kanak-kanak amat dipengaruhi oleh baka atau keturunan dan faktor persekitaran. Baka atau keturunan merupakan ciri-ciri perwarisan yang dibawa oleh ibu bapa kepada anak-anak. Ciri-ciri seperti warna kulit, saiz fizikal, warna mata dan lain-lain. Baka diperturunkan melalui gen-gen ibu bapa kepada anak-anak. Baka ini boleh menguasai penyuburan fizikal dan mental. Baka juga menetapkan had keupayaan, kemampuan mental manusia sama ada pandai atau tidak.
Sebagaimana yang telah dihuraikan dalam teori perkembangan kanak-kanak, bahawa setiap individu menunjukkan ciri-ciri perkembangan yang serupa dalam peringkat-peringkat pertumbuhan yang tertentu. Akan tetapi, kadar perkembangan setiap individu, walaupun dalam peringkat pertumbuhan yang sama, tetap berbeza dari segi fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Kajian ahli-ahli psikologi telah membuktikan bahawa tidak ada dua orang individu mempunyai kadar perkembangan yang sama. Mereka berpendapat baka dan persekitaran adalah faktor-faktor yang menyebabkan kadar perkembangan manusia dan wujudnya perbezaan individu di antara satu sama lain.
Pengaruh genetik atau faktor baka kini dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Ia terletak di lokus tertentu pada kromosom, iaitu sejenis benda seni berbentuk panjang yang didapati dalam nukleus sel sperma (jantan) dan juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengandungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka. Individu yang normal biasanya mempunyai 23 pasangan kromosom. Semasa proses persenyawaan, iaitu percantuman sel sperma (gamet jantan) dengan sel ovum (gamet betina) dengan membentuk zigot yang mula mendapat 23 kromosom daripada ibu bapa masing-masing. Seterusnya, proses pertukaran di antara kromosom daripada ibu dan bapanya berlaku dan menjadi ciri-ciri baka tersendiri, kemudian diwarisi oleh bayi yang akan dilahirkan pada masa kelak. Gen merupakan penentu utama dalam perwarisan ciri-ciri perkembangan individu serta sesetengah penyakit ibu bapa. Pengaruh genetik terhadap perkembangan manusia dapat diperhatikan ke atas ciri-ciri perbezaan individu dari segi fizikal, mental dan emosi.
Setiap individu, kecuali sesetengah kanak-kanak berkembar, mempunyai ciri fizikal, seperti saiz badan, tinggi-rendah, berat-ringan, bentuk dan warna organ deria serta kemahiran fizikal yang unik. Kajian telah menunjukkan bahawa ciri-ciri fizikal luaran, khasnya warna rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu bapa.
Kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza dengan rakan sebayanya. Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas.
Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang cerdas pintar akan melahirkan anak yang juga cerdas pintar.
Di samping faktor-faktor seperti keluarga, rakan sebaya, status sosio-ekonomi, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat, sumber teknologi, guru dan sekolah pula mempengaruhi perkembangan individu dalam setiap peringkat pertumbuhannya.
Institusi keluarga merupakan pengaruh utama terhadap perkembangan manusia. Unsur-unsur institusi keluarga yang pengaruhi perkembangan individu ialah suasana rumah, makanan, asuhan dan status sosio-ekonomi keluarga. Adalah telah diketahui umum, perbezaan suasana rumah, makanan, asuhan dan sosio-ekonomi keluarga melahirkan perbezaan individu mengikut perbezaan kadar perkembangannya. Misalnya; kanak-kanak yang dilahirkan dalam sebuah rumah yang mesra dan penuh dengan kasih sayang akan mengalami perkembangan emosi yang sihat. Manakala makanan yang berzat dan seimbang akan membantu kanak-kanak memperkembangkan jasmaninya dengan sempurna.
Status sosio-ekonomi keluarga yang baik atau tinggi akan membantu perkembangan intelek dan fizikal kanak-kanak ke tahap optimum kerana keluarga ini berupaya memberi makanan yang cukup berzat dan seimbang serta kemudahan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka.Pengaruh rakan sebaya adalah penting dalam perkembangan kanak-kanak, khasnya dari perkembangan intelek, sahsiah, emosi dan sosial. Misalnya; kanak-kanak bergaul dengan rakan sebaya yang rajin belajar akan mendorong perkembangan intelek dan potensinya ke tahap optimum. Kanak-kanak yang bersosialisasi dengan rakan sebaya yang bersopan santun akan menyerap nilai-nilai murni yang positif daripada mereka.
Menurut NAEYC (National Association For the Education of Young Children), perkembangan kognitif kanak-kanak dipengaruhi oleh persekitaran yang melingkunginya, seperti rumah dan sekolah. Perkaitan antara ibu bapa dan rumah dengan guru dan sekolah.
Perkembangan individu pula dipengaruhi oleh pendedahannya kepada sumber teknologi yang terdapat di alam kehidupannya. Sumber teknologi ini merujuk kepada maklumat-maklumat yang diperolehi daripada bahan-bahan bacaan seperti suratkhabar, majalah, iklan, filem, radio, televisyen dan komputer. Seperti yang kita ketahui bahawa pendedahan kanak-kanak kepada sumber teknologi yang sihat akan meningkatkan kadar perkembangan kognitif, emosi dan sosialnya. Sebaliknya, kanak-kanak yang didedahkan kepada sumber teknologi yang berunsur keganasan, kuning atau kezaliman, akan membentuk sikap yang negatif dan personaliti yang tidak diingini.
Guru dan sekolah merupakan pengaruh yang paling penting dalam perkembangan pelajar dari segi fizikal, intelek, emosi dan sosialnya. Guru yang bersifat penyayang dan cekap menguruskan aktiviti pengajaran-pembelajaran dalam bilik darjah akan melahirkan pelajar yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran negara. Iklim sekolah yang kondusif serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan pengajaran-pembelajaran akan membantu perkembangan kognitif dan psikomotor murid.
Guru dan sekolah merupakan agen perubahan dan bersama-sama diberi tugas untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, demi mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Tugas murni ini telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diisytiharkan pada tahun 1988.

Prinsip Perkembangan Kanak-Kanak

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Haliza & Samuel (2009) telah menggariskan lima prinsip asas dalam perkembangan kanak-kanak. Prinsip yang pertama ialah proses perkembangan kanak-kanak berlaku secara tertib atau teratur. Hal ini bermaksud perkembangan kanak-kanak mempunyai ‘flow’ atau alirannya yang tersendiri yang mana jika terdapat faktor-faktor negatif yang mengganggu kelancaran aliran ini akan mendatangkan akibat negatif kepada kanak-kanak tersebut.

Sebagai contoh seorang bayi pada awalnya hanya boleh berdiri dengan berpaut kepada dinding atau sesuatu yang boleh dipautnya, kemudian bayi tersebut sudah boleh berdiri tanpa jatuh dan kemudiannya akan bertatih yang diikuti dengan berjalan. Menjadi kebiasaan jika kanak-kanak yang baharu belajar berdiri dan berjalan akan jatuh. Tetapi terdapat sesetengah ibu bapa yang sangat risau akan hal ini dan sangat menjaga anak mereka dengan tidak membenarkan bayi mereka mencuba untuk berdiri atau berjalan. Impaknya, kelancaran aliran atau ‘flow’ yang sudah menjadi fitrah terganggu dan akan merencatkan perkembangan kanak-kanak tersebut.

Prinsip yang kedua ialah perubahan dalam pertumbuhan dan perkembangan beransur daripada keadaan umum kepada keadaan spesifik. Hal ini sangat berkait rapat dengan perkembangan fizikal kanak-kanak yang mana pertumbuhan berlaku dengan pertumbuhan otot-otot besar terlebih dahulu sebelum beransur ke otot-otot halus. Contoh yang paling jelas ialah kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dapat menulis dengan meniru abjad ABC dengan betul dan cantik berbanding kanak-kanak berumur tiga tahun yang masih belum cekap dalam menulis.

Perkembangan otot kanak-kanak mengambil masa yang mana otot-otot besar berkembang terlebih dahulu sebelum beransur ke otot-otot halus. Hal ini membukitkan bahawa perubahan dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak beransur daripada keadaan umum kepada keadaan spesifik.

Prinsip asas perkembangan kanak-kanak ke tiga yang ditekankan oleh Haliza & Samuel (2009) adalah pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berlaku secara berterusan. Dalam proses perkembangan, kanak-kanak akan menambah kemahiran yang mereka sedia ada. Kemahiran yang pada mereka sekarang akan dijadikan asas untuk mencapai kemahiran-kemahiran baharu kelak.

Sebagai contoh, pada umur tiga tahun seorang kanak-kanak akan belajar cara untuk memegang pensil, pada umur lima tahun pula kanak-kanak tersebut akan menggunakan kemahiran memegang pensil yang mereka ada untuk belajar menulis. Pada usia tujuh tahun pula, kanak-kanak tersebut akan menggunakan kemahiran menulis yang mereka ada untuk belajar menulis beberapa patah perkataan atau membina ayat. Pada usia sepuluh tahun pula kanak-kanak tersebut akan menggunakan kemahiran membina ayat yang telah dia kuasai pada usia tujuh tahun untuk membina karangan. Berdasarkan contoh yang diberikan dapatlah dirumuskan bahawa pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berlaku secara berterusan.

Corak dan aturan perkembangan adalah hampir sama tetapi kadar perkembangan manusia berbeza untuk setiap individu merupakan prinsip keempat asas perkembangan kanak-kanak. Misalnya, sesetengah kanak-kanak dapat berjalan pada umur 10 bulan manakala ada yang hanya boleh berjalan pada usia 18 bulan. Prinsip juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan setiap individu berbeza.

Prinsip terakhir ialah perkembangan adalah hasil interaksi antara kematangan dan pembelajaran. Sebagai contoh perkembangan otot dan saraf anggota badan yang sempurna memungkinkan seseorang itu menari tarian Zapin tetapi dia hanya boleh menari tarian Zapin jika berlatih atau meniru langkah-langkah tarian yang betul.

Proses pembelajaran membantu kanak - kanak memperkembangkan potensi yang sedia ada dalam dirinya. Kedua-dua unsur ini, iaitu kematangan dan pembelajaran, merupakan elemen yang sangat berkait rapat dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Menurut Larivée (2008), profesor pendidikan psikologi di Université de Montréal, gandingan antara kematangan kognitif dan tahap pemikiran yang diperoleh dari sekolah akan membolehkan kanak-kanak berusia tujuh tahun untuk membezakan antara imaginasi dengan realiti. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa hasil interaksi antara kematangan dan pembelajaran akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980) merupakan satu teori yang diasaskan dan diperkembangkan oleh Jean Piaget. Jean Piaget merupakan seorang ahli psikologi Switzerland yang cuba menjelaskan tentang kaedah manusia mempersepsi ilmu dan membuat hipotesis (Haliza & Samuel, 2009).

Piaget pada awalnya mempunyai latar belakang pendidikan dalam lapangan biologi dan menggelar dirinya sebagai seorang “genetist epistemologist” sebelum beliau beralih minat kepada perkembangan kognitif kanak-kanak melalui satu insiden yang berlaku di Makmal ujikaji IQ Binet di Paris, tempat di mana beliau bekerja (Huitt & Hummel, 2003). Antara persoalan yang sering menarik minat Piaget dalam lapangan biologi ialah “bagaimana kita menjadi tahu?”. Piaget juga percaya bahawa apa yang membezakan antara manusia dengan haiwan adalah kebolehan manusia untuk memberi alasan yang abstrak (“abstract symbolic reasoning”).

Menurut Jean Piaget, kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat perkembangan kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza-beza. Beliau berpendapat persekitaran tidak membentuk kognitif kanak-kanak, sebaliknya, kanak-kanak membina pengetahuan mereka secara aktif untuk memahami persekitarannya. Keadaan ini berlaku melalui pelbagai proses penerokaan, manipulasi dan menilai persekitaran fizikalnya.Untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai proses ini, Piaget memperkenalkan 4 konsep utama iaitu skema, penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan.

Skema adalah struktur kognitif atau mental yang membolehkan individu mengurus dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Skema adalah seperti sebuah kabinet yang menyimpan banyak fail dan setiap fail mewakili satu skema. Apabila seorang bayi dilahirkan ia mempunyai skema umum dan semakin bayi itu membesar skema yang diperoleh semakin meningkat dan skema itu semakin diperhalusi.

Skema adalah proses mencipta, memperhalus, membuat perubahan, menyusun dan mengurus. Apabila seorang bayi dilahirkan, skema sedia ada pada bayi itu ialah menghisap susu dan menggenggam. Apa sahaja benda yang dimasukkan ke mulutnya akan dihisapnya. Seperti puting susu atau jari tangan. Bayi berkenaan masih belum dapat membezakan yang mana satu akan mengeluarkan susu atau sebaliknya, kerana hanya ada satu sahaja skema iaitu menghisap.

Asimilasi merupakan proses kognitif di mana seseorang menyatukan maklumat-maklumat baru atau pengalaman-pengalaman baru ke dalam skema yang sedia ada, iaitu penyerapan (fitting) maklumat baru ke dalam struktur sedia ada. Asimilasi berlaku sepanjang masa kerana manusia sentiasa melalui pelbagai maklumat dan pengalaman. Keadaan ini boleh disamakan dengan sebuah belon yang semakin membesar apabila ditiupkan angin ke dalamnya. Oleh itu, perubahan yang berlaku adalah secara kuantitatif atau bukan kualitatif.

Akomodasi atau penyesuaian diri dan menghasilkan perubahan kualitatif serta perkembangan skema (development of schema). Jika maklumat yang diterima sesuai dengan skema yang ada, maka ia akan diserap ke dalam skema, sebaliknya jika maklumat itu tidak sesuai, maka maklumat itu akan ditolak atau diubah atau diubahsuai.

Oleh itu, proses penyesuaian diri berlaku apabila skema yang sedia ada diubah suai untuk digabungkan dengan maklumat-maklumat atau pengalaman-pengalaman baru. Peningkatan maklumat dan pengalaman ini meningkatkan tahap skema sedia ada. Proses ini berlaku secara berterusan sehingga seseorang itu mencapai tahap pemahaman yang stabil dan mantap bagi satu-satu kemahiran tertentu.

Keseimbangan akan tercapai apabila seseorang kanak-kanak menyeimbangkan proses penyerapan dan pengubahsuaian. Contohnya, apabila seseorang kanak-kanak menerima maklumat baru, ia akan menyerap maklumat itu ke dalam skemanya. Sekiranya ia berjaya proses keseimbangan akan tercapai. Sebaliknya, jika ia tidak dapat diserap, maka maklumat itu akan diubahsuai melalui pengubahsuaian skema atau mencipta skema yang baru. Jikalau maklumat baru itu dapat disesuaikan, maka tahap keseimbangan akan tercapai. Proses ini berlaku secara berterusan bermula dari bayi sehingga dewasa.

Menurut Piaget, proses pemikiran kita berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga kita mencapai kematangan. Piaget telah menyatakan empat faktor yang mempengaruhi proses pemikiran individu iaitu kematangan biologi, interaksi individu dengan persekitaran, pengalaman sosial dan keseimbangan.

Piaget juga telah mencadangkan empat peringkat dalam perkembangan kognitif iaitu peringkat sensorimotor, pra operasi, operasi konkrit dan operasi formal (Huitt & Hummel, 2003).Peringkat sensorimotor merupakan peringkat yang mana bayi masih dalam kandungan sehingga berusia dua tahun.

Pada awal peringkat ini bayi menggunakan deria dan pergerakkan fizikal untuk mempelajari tentang persekitarannya. Pada peringkat ini juga bayi mengkoordinasi maklumat deria dengan kebolehan motor untuk membentuk skema tingkah laku yang membolehkan mereka melakukan penerokaan tentang persekitaran mereka.

Pada akhir peringkat sensorimotor, kanak-kanak sudah mula menggunakan imitasi, memori dan pemikiran dalam kehidupan sehari-harian mereka. Kanak-kanak juga akan mencapai tahap pengekalan objek iaitu kebolehan untuk membayangkan atau menggambarkan sesuatu objek dalam memorinya. Pada akhir peringkat ini juga kanak-kanak sudah mampu untuk menggunakan skema-skema mudah.

Peringkat seterusnya iaitu pra operasi. Usia kanak-kanak yang termasuk dalam peringkat ini ialah kanak-kanak yang berusia dua hingga tujuh tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak mula menggunakan bahasa dan mula menyatakan tentang sesuatu objek dengan menggunakan gambar dan perkataan. Mereka mempunyai sikap egosentrik yang mana mereka melihat dan memahami persekitaran melalui perspektif mereka sendiri. Pada peringkat ini juga kanak-kanak sudah boleh mengklasifikasikan objek mengikut jenisnya (Atherton, 2005). Sebagai contoh mengasingkan blok-blok berwarna merah mengikut bentuk yang sama atau mengasingkan blok-blok berbentuk kiub mengikut warnanya.

Peringkat operasi konkrit merupakan peringkat yang seterusnya selepas pra operasi yang mana kanak-kanak yang berusia tujuh hingga sebelas tahun termasuk dalam kelompok ini. Pada peringkat ini, sifat egosentrik dalam diri kanak-kanak sudah berkurangan (Huitt & Hummel, 2003). Kanak-kanak juga sudah mampu memanipulasi simbol berkaitan objek yang konkrit.
Pada peringkat ini kanak-kanak perlu menguasai tiga prinsip asas iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan. Piaget telah pun menjalankan beberapa ujian ke atas kanak-kanak yang merangkumi aspek-aspek nombor, panjang, berat, isipadu, luas, cecair dan berat untuk mengkaji ketiga-tiga prinsip ini (Berk, 2003) (Huitt & Hummel, 2003) (lampiran 1.1).

Prinsip identiti menerangkan bahawa kanak-kanak tahu sekiranya tiada bilangan yang ditambah atau dikurangkan, bilangan atau amaun objek adalah sama walaupun bentuknya berubah. Haliza & Samuel (2009) mendefinisikan prinsip ganti rugi sebagai kanak-kanak tahu sesuatu perubahan pada satu segi akan diganti oleh perubahan dalam satu aspek yang lain.

Dalam prinsip keterbalikan pula kanak-kanak boleh mengulang proses yang berlaku secara mental kepada keadaan asal semula. Kanak-kanak juga sudah mampu untuk berfikir secara mengundur atau ‘reversible’ (Huitt & Hummel, 2003).

Pada peringkat terakhir iaitu peringkat operasi formal (11 tahun dan ke atas), kanak-kanak mampu untuk berfikir secara logik tentang permasalahan yang abstrak dan mampu untuk menguji hipotesisnya secara sistematik (Atherton, 2005).

Kadar perkembangan sangat pesat yang mana perubahan tersebut mula ke arah menjadi seorang dewasa. Kanak-kanak pada peringkat ini juga mencapai akil baligh tetapi masa yang diambil ke arah ini adalah berbeza menikut jantina. Kebiasaannya, kanak-kanak atau remaja perempuan terlebih dahulu akil baligh daripada lelaki sebaliknya tempoh pertumbuhan lelaki semasa akil baligh adalah lebih lama berbanding perempuan.

Pada akhir peringkat ini muncul pula egosentrik remaja, tetapi egosentrik ini berlainan daripada egosentrik di peringkat pra operasi. Egosentrik remaja ini membuatkan remaja lebih tertumpu kepada idea dan pemikiran mereka sendiri. Mereka susah untuk menerima pandangan, idea, teguran dan pendapat orang lain.

Teori Perkembangan Kognitif Lev Vygotsky

Oleh: Ziham Zawawi Mazlan

Lev Vygotsky merupakan ahli psikologi Russia yang asalnya mendalami ilmu perubatan tetapi akhirnya mempelajari bidang undang-undang dan kesusasteraan. Les vegotsky menekankan peranan sosial dan budaya dalam perkembangan kanak-kanak. Menurut beliau kebanyakan daripada kemahiran kognitif terhasil daripada interaksi sosial kanak-kanak dengan ibu bapa, guru, rakan-rakan dan orang dewasa.

Perkembangan kognitif kanak-kanak terhad disebabkan oleh sistem biologi yang belum matang. Terdapat dua faktor utama dalam perkembangan kognitif kanak-kanak menurut Les vygotsky iaitu interaksi sosial dan kemahiran berbahasa. Menurut vygotsky lagi, perkembangan kognitif berlaku dalam dua peringkat iaitu peringkat sosial yang mana maklumat yang diperolehi hasil daripada interaksi antara dua individu seperti ibu bapa, rakan-rakan, dan jiran. Peringkat yang kedua ialah peringkat individu iaitu kebolehan individu menukar maklumat dan pengetahuan yang diperolehi daripada interaksi sosial kepada kefahaman individu.

Zon perkembangan proksimal merupakan idea Vygotsky yang paling dikenali. Vygotsky menerangkan tentang kemahiran-kemahiran yang sukar dilakukan oleh kanak-kanak boleh dijayakan dengan bantuan dan bimbingan orang-orang dewasa atau rakan sebaya yang lebih mahir. Dalam zon perkembangan proksimal terdapat had atas dan had bawah. Had atas ialah Kemahiran yang boleh dicapai dengan bantuan individu yang lebih mahir manakala had bawah bermaksud Kemahiran yang telah dicapai sendiri oleh kanak-kanak.

Konsep perancah (scaffolding) juga merupakan teori yang diasaskan oleh Vygotsky. Scaffolding bermaksud mengubahsuai tahap sokongan yang diberikan dan berkait rapat dengan zon perkembangan proksimal. Perbualan dan interaksi adalah alat yang penting semasa proses perencah untuk mendapat konsep-konsep baru dan lebih sistematik.

Menurut vygotsky, berkomunikasi dengan diri sendiri juga boleh dijadikan salah satu perkembangan kanak-kanak yang bagus kerana dapat mengawal tingkah lakunya sendiri. Malah kanak-kanak yang sering bercakap dengan diri sendiri lebih cekap dalam kemahiran sosial berbanding kanak-kanak yang tidak bercakap sendiri. Hasil kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang bercakap dengan diri sendiri akan memberikan impak positif terhadap diri mereka kelak.