Tuesday 23 December 2008

Menyorot Kembali Sejarah Perkahwinan

Semua orang mahu kahwin. Tiada siapa yang tidak mahu berkahwin. Mungkin ada juga golongan-golongan tertentu yang tidak mahu berkahwin atau tidak percaya kepada perkahwinan tetapi mereka adalah golongan minoriti yanh menyimpang daripada norma-norma kehidupan masyarakat dunia. Semua bangsa di atas muka bumi ini mempunyai tradisi dan adat istiadat untuk mengadakan majlis perkahwinan. Hal ini membuktikan perkahwinan merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia dan merupakan kemuncak kehidupan seseorang. Perkahwinan pada kebiasaannya akan menghasilkan zuriat. Banyak atau sikit terpulang kepada individu masing-masing.

Usia yang ideal bagi seseorang untuk berkahwin adalah sangat subjektif. Hal ini berubah mengikut arus zaman dan kehendak kemajuan sesuatu bangsa. Masyarakat Melayu contohnya, pada dekad-dekad 60 an dan ke atas anak-anak gadis akan dikahwinkan dengan seorang jejaka pilihan keluarga. Si gadis tidak akan mempersoalkan tindak-tanduk keluarga mereka kerana mereka percaya bahawa pilihan keluarga adalah yang terbaik. Mereka juga tidak mempunyai sifat berdikari yang tinggi kerana mereka bergantung harap sepenuhnya kepada keluarga mereka. Soal kehidupan mereka diserahkan bulat-bulat kepada ibu dan ayah mereka. Untuk peringkat seterusnya kehidupan mereka akan diserahkan sepenuhnya kepada keluarga untuk memilih bakal suami mereka. Dan begitulah seterusnya apabila mereka telah berkahwin mereka serah bulat-bulat kehidupan mereka kepada suami mereka. Kebiasaannya mereka tidak kenal siapa bakal suami mereka. Malah tidak pernah melihat muka bakal suami mereka sehinggalah tiba hari pernikahan.

Pepatah ‘perigi cari timba’ jelas menunjukkan kekangan kepada si gadis untuk memilih bakal suami mereka. Jika mereka cuba untuk memilih bakal suami mereka sendiri mereka akan dilabelkan sebagai perigi cari timba. Hal ini sangat kontra dengan kisah perkahwinan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad yang berkahwin dengan Siti Khadijah adalah hasil usaha Siti Khadijah yang meminang Nabi Muhammad. s.a.w. Oleh itu tidak timbul istilah perigi cari timba dalam kamus kehidupan Islam. Dalam al-Quran sendiri tidak terdapat pengharaman tentang si gadis yang memilih calon suami atau wanita yang meminang bakal suami. Hanya dalam kehidupan masyarakat Melayu hal ini menjadi sangat janggal hinggalah ke hari ini. Hal ini membawa kepada kahwin muda yang anak gadis yang baru berusia belasan tahun dikahwinkan oleh keluarga mereka dengan lelaki pilihan keluarga.

Selepas dekad-dekad 60 an, iaitu berbelas tahun selepas Malaysia merdeka, kaum hawa di Malaysia mula mengorak langkah mengubah cara tradisi melangkah ke alam perkahwinan daripada berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga kepada berkahwin dengan lelaki pilihan sendiri. Gerakan kepada perubahan ini dipanggil ‘Feminisme’ dan dikatakan gerakan ini bermula di Great Britain dan menular masuk ke Malaysia selaras dengan pendudukan semula Inggeris ke Tanah Melayu selepas pengunduran tentera Jepun. Kaum wanita mula berdikari dan percaya kepada kebolehan diri sendiri. Maka muncullah ramai pekerja-pekerja wanita yang mengisi pelbagai profesion dalam pelbagai lapangan daripada guru di sekolah hinggalah kepada pemandu bas. Menikut statistik yang telah dikeluarkan sebuah badan bertanggungjawab, 60 peratus profesion keguruan telah diisi oleh guru wanita. Malah kuota pengisian graduan di universiti awam terutamanya diisi sehingga 70 peratus kaum hawa.

Masalah lain pula mula timbul apabila ramai wanita tidak berkahwin sehingga ke usia tua. Melalui beberapa kajian yang telah dijalankan oleh badan-badan saintifik antarabangsa mahupun jabatan-jabatan berkaitan di seluruh dunia telah merumuskan pelbagai kesimpulan terhadap masalah ini. Pertama kaum wanita terlalu terpengaruh dengan novel-novel cinta atau filem-filem romantik yang terdapat di pasaran. Mereka terlalu mencari lelaki yang sempurna atau ‘Mr. Perfect’ seperti mana yang banyak terdapat perannya dalam filem-filem romantik. Mereka mahupan ‘Mr. Perfect sedangkan mereka tidaklah sesempurna mana. Mereka lupa bahawa tidak wujud manusia yang sempurnapun di dunia ini.

Masalah kedua wujud akibat terlalu ramai wanita di universiti awam telah merancakkan sistem pengajian tinggi di negara. Akibat terlalu asyik belajar dan terlalu komited dalam pelajaran mereka, mereka lupa bahawa mereka adalah seorang manusia yang berjantina wanita dan perlu berkahwin. Malah ramai juga yang telah menetapkan pelbagai target untuk berkahwin. Contohnya,’aku akan berkahwin bila aku sudah membuat PhD nanti’ atau ‘aku akan berkahwin bila aku sudah dapat ijazah sarjana nanti’. Masalah yang ketiga berlaku dalam lingkungan wanita yang berkerjaya. Gerakan ‘feminisme’ telah membawa kepada ramai wanita yang tidak mempercayai kepada perkahwinan. Wanita berkerjaya ini terlalu asyik dengan kerja mereka sehinggakan lupa untuk mencari teman hidup.

Selepas zaman millenium, kerancakkan modenisasi yang bertunjangkan globalisasi telah mengubah sekali lagi teras kepada sistem mencari pasangan bagi wanita di Malaysia terutamanya. Kemasukkan banyak anasir-anasir hitam terutamanya porno dan segala macam benda yang tidak elok telah mengubah pemikiran anak-anak gadis. Hari ini, tradisi kahwin muda yang diwujudkan oleh orang-orang terdahulu kembali lagi tapi dalam bentuk yang dahsyat. Lazimnya, anak-anak gadis sekarang berkahwin awal kerana telah terlanjur dengan kekasih hati mereka. Tidak kurang juga yang sudah tidak tahan lagi untuk berkahwin denga kekasih hati mereka.

Masalah lain pula timbul apabila ramai anak-anak gadis kahwin muda. Istilah darah panas sering digambbarkan kepada anak-anak muda. Anak-anak muda yang berkahwin awal dan darahnya masih panas selalu membawa kepada pergaduhan dan perceraian. Tidak kurang juga kes penderaan rumah tangga. Akibat tekanan kerja, si suami membawa pulang masalah yang merunsingkan kepala dan dilepaskan kepada isteri mereka. Si isteri yang baharu berusia belasan tahun, teruk menerima penderaan dan akhirnya membawa kepada penceraian atau kematian.

Konklusinya, perkahwinan merupakan sesuatu yang diperlukan oleh setiap insan. Cara atau langkah yang digunakan juga berbeza mengikut perubahan zaman dan waktu. Oleh hal itu tidak salah kiranya jika kita mengamalkan tradisi yang telah menjadi amalan nenek moyang kita iaitu berkahwin muda asalkan masing-masing sudah mampu untuk memikirkan tentang tanggungjawab masing-masing. Isitilah perigi cari timba seharusnya dihapuskan dalam kamus kehidupan masyarakat Malaysia dan disimpan sahaja di dalam ensiklopedia masyarakat Malaysia kerana peribahas ini sudah tidak relevan lagi untuk diamalkan pada masa sekarang.

Sejarah perkembangan ejaan bahasa Melayu sebelum kurun ke-19

Sebelum abad ke-19, sistem ejaan bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan bahasa Arab. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan kepada batu-batu bersurat yang ditemui di sekitar Nusantara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium untuk menyampaikan maklumat. Oleh hal yang demikian, untuk mengkaji sistem ejaan bahasa Melayu sebelum kurun ke-19 eloklah dikaji berdasarkan batu-batu bersurat tersebut.

Antara batu-batu bersurat tersebut ialah batu bersurat yang bertarikh 683 masihi. Batu bersurat itu ialah Batu Bersurat Kedukan Bukit yang dijumpai di Palembang. Seterusnya Batu Bersurat Talang Tuwo yang bertarikh 684 masihi. Diikuti oleh Batu Bersurat Karang Berahi yang di jumpai di Sg. Merangin, Hulu Sg. Jambi bertarikh 686 masihi. Batu bersurat yang bertarikh 686 masihi iaitu Batu Bersurat Kota Kapur di jumpai di Bangkahulu. Di ikuti Batu Bersurat Kertanagara pada tahun 1285 masihi. Batu Bersurat Pagar Ruyong pula bertarikh 1356 masihi. Batu bersurat yang terakhir telah dijumpai bertarikh 1375 masihi iaitu Batu Bersurat Surawasa yang dijumpai di Hulu Sg. Batang hari.

Bagi mengkaji dengan lebih terperinci bentuk dan sistem ejaan bahasa Melayu sebelum kurun ke-19 terutamanya bahasa Melayu kuno, berikut ditunjukkan teks tulisan yang dijumpakan pada batu bersurat tertua iaitu batu bersurat Kedukan Bukit yang dijumpakan di Palembang. Antara ayat yang terdapat pada teks pada batu bersurat tersebut adalah itu ialah ‘Swasti Shri’ yang bermaksud selamat dan bahagia. ‘Shokawarsatito 605 Ekadoshi’ pula bermaksud dalam syaka 605, pada sebelas. ‘Shuklapaksa Wulan Waishokha Dapunta’ telah diberi makna sebagai hari bulan terang dari bulan. ‘Hiyang naik disambau mengalap Siddhayantra’ pula bermaksud waisyakha Baginda naik kapal mencari untungnya. ‘Di Sartami Shuklapaksa Wulan’ bermaksud pada tujuh hari bulan terang dari bulan. ‘Jyestha dapunta hiyang marlapus dari Minanga Tamwan’ membawa maksud Jyestha Baginda berangkat dari muara Tamvan (Tamvar?).

Mamawa jang bala dua laksa’ pula bermaksud membawa bala dua laksa. ‘Dangan…. dua ratus’ pula di maknakan dengan dengan...dua ratus. ‘Tsyara disambau dangan jalan’ pula dimaksudkan dengan pawang di kapal yang jalan kaki. Manakala Saribu tlu ratus sapuloh dua’ bermaksud seribu dua ratus tiga belas. ‘Datang Di matajap’ bermaksud datang di Matajap (Mataya). ‘Sukhotshitta’ bermaksud sukacita. ‘Di pantshami shluklapaksa Wulan’ bermaksud pada lima hari bulan terang dari bulan. ‘…..loghu mudik datang’ bermaksud belajar mudik datang. ‘Marwuat manuo…Syriwijaya’ bermaksud membuat benua … Sriwijaya’. ‘Jayasiduhayatia subhiksa’ pula di maksudkan dengan kota yang jaya, yang bahagia, dan yang makmur.

Ismail Hamid dalam bukunya Masyarakat dan Budaya Melayu merumuskan bahawa tidak terdapat letupan bilabial bersuara tetapi digunalkan vokal bilabial, misalnya perkataan wulan (bulan), wanyak (banyak) dan wuat (buat) dalam teks yang ditemukan pada batu bersurat tersebut. Kedua, huruf e pepet tidak digunakan atau ditulis dengan vokal a, misalnya dengan ditulis dngan atau dangan. Ketiga awalan ber- ditulis dalam bahasa Melayu kuno dalam bentuk mar-, misalnya marlepas (berlepas) dan marwat (berbuat).Keempat, awalan ni- dahulu adalah sama dengan awalan di- sekarang misalnya niparwat (diperbuat) dan nikenai (dikenai). Jadual di bawah menunjukkan perbandingan antara ejaan pada Batu Bersurat Kedukan Bukit dengan ejaan bahasa Melayu moden.

Secara amnya, teks pada batu-batu bersurat membuktikan perkataan bahasa Melayu kuno banyak dipinjam dari bahasa Sanskrit. Tulisan pada batu bersurat ini menggunakan tulisan Kawi dan Nogori yang berasal dari Pallava di India. Namun pada kurun ke-13 & ke-14, tulisan bahasa Melayu telah menggunakan huruf arab yang dikenali sebagai tulisan jawi. Hal ini dapat dibuktikan dengan terjumpanya batu bersurat Kuala Berang.

Huruf-huruf jawi terdiri daripada 29 huruf-huruf arab dan 5 huruf yang dicipta oleh orang Melayu. Ejaan-ejaan jawi telah disesuaikan dengan lidah orang melayu. Menurut Prof. S.M Naquib Al-Attas, 5 huruf tersebut ialah ‘ca’, ‘nga’, ‘pa’, ‘ga’, dan ‘nya’. Menurut Omar Awang pula huruf ‘ca’ dan ‘ga’ diambil dari huruf parsi.

Bermula kurun ke-16, rujukan tentang ejaan bahasa Melayu telah diperkaya oleh sarjana asing dan tempatan. Pada1521, Pigafetta, seorang kelasi Itali telah berlayar bersama dengan Magellan dan singgah di Pulau Tidora dan menyusun daftar kata Melayu-Itali iaitu daftar kata bahasa Melayu tertua.

Pada 1603 pula, Spraeck Ende Wood, gabenor Belanda di Ambon telah menerbitkan ‘Book in do Malaysche ende Madagaskar Talen o Frederick De Houtman. Buku ini ditulis dalam bahasa Belanda dan mengandungi senarai BM dan Madagascar. Tun Seri Lanang telah merawikan Sejarah Melayu pada 1612.

Pada 1613, Paderi Dovie Haex telah menyusun sebuah kamus Melayu-Latin dan Latin-Melayu untuk tujuan penyebaran agama kristian. Kamus ini dikenali sebagai Pretionarium Malaicum-Latinum et Latinum. Kamus ini juga membicarakan tentang tatabahasa misalnya imbuhan meN-, peN-, beR-, dan sebagainya. Kamus Belanda-Melayu dan Melayu-Belanda telah ditulis oleh Caspar Wittans dan Sebastian Danckaerts di The Hague 1623.

Budaya Institut Pendidikan Guru: Budaya Estetika

Bahagian Pendidikan Guru (BPG) ialah bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia yang mengendalikan program pendidikan perguruan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan. Program pendidik keguruan berhasrat memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru untuk melahirkan guru yang profesional, berketrampilan, berdaya tahan, berakhlak mulia, mengamalkan nilai-nilai murni, berdaya fikir dan cekap teknologi.

Selaras dengan visinya iaitu ‘Sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia dari segi kualiti yang dapat memenuhi aspirasi negara Malaysia’ dan misinya iaitu ‘Melaksana sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia untuk memastikan guru-guru sentiasa berketrampilan bagi memenuhi aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia’, Budaya Institut Pendidikan Guru (IPG) telah dilaksanakan. Budaya Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah untuk dapat membina, membentuk dan melahirkan guru yang mengamalkan tujuh dimensi budaya iaitu budaya ilmu, budaya kepimpinan, budaya kerja profesional, budaya akhlak dan moral, budaya estetika, budaya hidup sihat dan budaya penyayang.

Budaya estetika merupakan salah satu komponen penting dalam Budaya IPG. Budaya estetika merujuk kepada ekspresi dan apresiasi terhadap nilai-nilai seni, keindahan dan keharmonian. Terdapat lima asas yang menjadi inti kepada budaya ini iaitu kehalusan budi dan keunggulan peribadi, kesempurnaan kerja, kecantikan dan keindahan seni dan karya, keindahan budaya dan bangsa dan yang terakhir keindahan persekitaran.

Kehalusan budi dan keunggulan peribadi merujuk kepada sikap seorang guru itu sendiri. Kehalusan budi dinilai dari segi akhlak seorang guru atau cikgu semasa berinteraksi dengan pelajarnya di dalam kelas, berinteraksi dengan rakan setugas di bilik guru ataupun berinteraksi dengan masyarakat setempat di luar sekolah. Faktor seperti budi bahasa, akhlak mulia dan saling menghormati menunjukkan kehalusan budi seseorang individu tersebut. Manakala keunggulan peribadi pula ialah sikap peribadi itu sendiri dalam menghadapi sesuatu keadaan. Peribadi seperti personaliti, cara kerja serta perwatakan guru tersebut akan menunjukkan keunggulan peribadi seorang guru tersebut. Seorang guru pelatih yang telah diterapkan nilai-nilai estetika pada peribadinya di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dapat berinteraksi dengan sesiapa sahaja dengan kehalusan budi yang mencerminkan keunggulan peribadi seorang guru. Oleh hal yang demikiani, kehalusan budi dan keunggulan peribadi penting bagi melestarikan budaya IPG terutamanya budaya estetika dalam jiwa seorang guru pelatih yang telah dilatih di dalam Institusi-institusi Pendidikan Guru (IPG).

Inti kedua dalam budaya estetika ialah kesempurnaan kerja. Kesempurnaan kerja bukan bermakna hanya sekadar menyiapkan kerja ataupun tugasan yang di berikan dalam masa yang diberikan tetapi melibatkan pelbagai aspek kesempurnaan dalam menyiapkan kerja itu. Kesempunaan ini melibatkan hasil kerja yang teliti, hasil kerja yang memuaskan dan cantik serta menerapkan unsur-unsur seni atau nilai-nilai estetika dalam penghasilan kerja tersebut. Sebagai contoh seorang guru boleh menggunakan seni muzik ataupun seni lukis semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Hal ini akan menarik perhatian para pelajar untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran itu sekali gus mengurangkan kebosanan mereka untuk mengikuti pembelajaran. Selain hal itu seorang guru perlulah menyempurnakan setiap tugasan yang diberikan oleh pihak atasan sekolah dengan sempurna. Hal ini amat penting bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan adalah setaraf dengan hasrat kerajaan seperti yang terdapat dalam visi Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu ‘Sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia dari segi kualiti yang dapat memenuhi aspirasi negara Malaysia’. Oleh hal itu, kesempurnaan kerja amat penting sebagai tunjang kepada penerapan budaya IPG terutamanya budaya estetika dalam jiwa sanubari bakal guru atau guru pelatih di Institut Pendidikan Guru di seluruh negara.

Inti ketiga pula adalah kecantikan dan keindahan seni serta karya. Kecantikan dan keindahan yang dimaksudkan ialah kesungguhan dan keazaman seseorang guru itu menghasilkan sesebuah karya mahupun hasil seni ataupun dalam konteks pendidikannya ialah menerapkan unsur-unsur kecantikan dan keindahan seni dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Kesungguhan yang mendalam ini akan menghasilkan keindahan dalam sesuatu karya mahupun hasil seni tersebut. Karya yang terhasil dengan kesungguhan dan keazaman itulah yang membentuk budaya estetika yang menarik.

Keindahan budaya dan bangsa juga merupakan salah satu cabang daripada budaya estetika dalam budaya IPG. Keindahan budaya dan bangsa telah diterap dalam budaya IPG dengan pengambilan guru-guru pelatih daripada pelbagai kaum dan latar belakang untuk menjadi warga pendidik. Melalui kepelbagaian kaum ini, budaya setiap kaum akan dapat dikongsi dan disemai oleh setiap warga pendidik seterusnya disebarkan kepada para pelajar mereka. Selain hal itu, pihak IPG juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang dapat menunjukkan betapa indahnya seni budaya yang dimiliki oleh setiap bangsa yang terdapat di setiap institut perguruan. Dengan ini, terbuktilah bahawa keindahan budaya dan bangsa menjadi intipati penting dalam pembentukkan budaya estetika dalam kalangan warga IPG.

Asas kelima yang menjadi inti kepada budaya ini ialah keindahan persekitaran. Umum mengetahui bahawa persekitaran yang kondusif akan mewujudkan suasana pembelajaran yang efektif. Oleh hal itu, pihak IPG juga menekankan aspek persekitaran yang indah dan cantik supaya pembelajaran menjadi lebih seronok dan berkesan. Keindahan persekitaran ini bukan sahaja perlu diterap kepada warga pendidik, malahan para pelajar mereka juga harus dididik supaya menghargai persekitaran. Apabila seseorang guru pelatih telah disemai sikap mencintai keindahan persekitaran semasa menuntut di IPG, mereka akan membawa sikap mulia tersebut ke tempat mereka mengajar. Mereka akan bertindak sebagai agen penyebar yang akan menyebarkan amalan mulia ini dalam kalangan anak murid mereka. Hal ini sekali gus membuktikan bahawa asas kelima dalam budaya estetika ini amat penting bagi melahirkan seorang guru yang dihasilkan dalam suasana budaya IPG yang akan dapat menyebarkan budaya tersebut ke mana sahaja mereka.

Tamsilannya, lima asas yang menjadi tunjang kepada budaya estetika merupakan sekelompok nilai yang wajar diamalkan sebagai satu budaya atau cara hidup oleh setiap guru. Hal ini memandangkan mereka merupakan produk atau hasil keluaran dari IPG yang mempunyai budaya IPG unggul yang tersendiri dan berkesan. Budaya-budaya seperti budaya ilmu, budaya kepimpinan, budaya kerja profesional, budaya akhlak dan moral, budaya penyayang, budaya hidup sihat dan budaya estetika merupakan antara nilai budaya yang mahu diterapkan oleh pihak BPG kepada semua pelatih-pelatih guru bagi memastikan hasrat program pendidik keguruan bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru untuk melahirkan guru yang profesional, berketrampilan, berdaya tahan, berakhlak mulia, mengamalkan nilai-nilai murni, berdaya fikir dan cekap teknologi tercapai. Budaya estetika terutamanya akan menyemai rasa cinta terhadap seni dan keindahan serta membolehkan seorang guru untuk berekspresi dan berapresiasi terhadap nilai-nilai seni, keindahan dan keharmonian.

Usaha untuk mempertingkatkan martabat profesion keguruan

Salah satu ciri sebuah negara maju dan moden ialah mempunyai ramai tenaga kerja profesional yang mampu menampung keperluan sumber manusia dunia. Dalam konteks pendidikan, guru yang profesional merupakan aset utama yang bertindak sebagai kilang yang menghasilkan produk sumber manusia yang profesional. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bersungguh – sungguh merangka dan melaksanakan pelbagai program bagi melahirkan guru yang profesional serta menaikkan tahap profesionalisme keguruan di negara ini. Hal ini adalah selari dengan Wawasan 2020 yang hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi.

Peranan yang diambil oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha untuk mempertingkatkan martabat profesion keguruan adalah amat berat. Hal ini kerana bilangan guru di Malaysia adalah ramai dan memerlukan kos yang amat tinggi untuk menjayakan projek ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan telah memasukkan rancangan untuk memartabatkan profesion keguruan sebagai salah satu teras dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara (PIPPN) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007.

Teras ke lima PIPPN iaitu memartabatkan profesion keguruan telah dibahagikan kepada lima fokus utama. Lima fokus utama tersebut ialah yang pertama, menambah baik sistem pemilihan calon guru. Kedua, memantapkan latihan perguruan. Ketiga, memantapkan kerjaya guru. Keempat, menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru. Kelima, memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia.

Fokus pertama dalam teras ke lima PIPPN ialah menambah baik sistem pemilihan calon guru. Secara kasarnya, hal ini boleh diterjemahkan sebagai memperketatkan syarat dan kriteria pengambilan calon guru. Program – program pengambilan calon guru seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) akan diperketatkan syarat kelayakannya. Hal ini adalah untuk memastikan bahawa hanya calon – calon yang layak sahaja yang akan mendapat tempat di Institut Pendidikan Guru (IPG). Sebagai contoh, Calon yang ingin menduduki tempat dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) perlu meduduki Ujian PemilihanCalon Guru Malaysia (MteST) serta perlu melepasi temu duga secara individu dan berkumpulan. Ini adalah bagi memastikan bakal – bakal guru yang lahir dari IPG adalah guru – guru yang berkualiti dan mempunyai tahap profesionalime yang tinggi.

Fokus kedua dalam teras ke lima PIPPN ialah memantapkan latihan perguruan. Antara strategi pelaksanaan fokus kedua ini adalah menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka bentuk dan menggubal kurikulum IPG secara berpusat dan mendapat kelulusan Majlis Kurikulum Pendidikan Guru, peningkatan, pemantapan dan peluasan kursus dan latihan dan yang terakhir, peluasan dan peningkatan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Hal ini amat penting kerana suasana pembelajaran yang baik dan kondusif akan dapat melahirkan guru yang cemerlang dari semua aspek serta mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi.

Memantapkan kerjaya guru merupakan fokus ketiga dalam teras ke lima PIPPN. Penambahbaikan perjawatan guru dan penambahan perjawatan serta peluasan naik pangkat untuk PPS di KPM/JPN/PPD/G merupakan antara strategi pelaksanaan dalam fokus ketiga ini. Melalui startegi ini kerajaan akan meningkatkan kadar kenaikkan pangkat mengikut kuota baharu. Kerajaan juga akan menambah baik norma perjawatan guru. Selain hal itu, elaun – elaun untuk tugas – tugas khas akan diberikan. Cuti rehat dan waktu bekerja guru juga akan disemak semula. Melalui startegi pelaksanaan ini, berkemungkinan besar hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan guru akan berjaya.

Fokus ke empat pula ialah menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru. Melalui strategi menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan penempatan guru mengikut opsyen dan keperluan, mutu kerja guru – guru akan meningkat. Keperluan tempat tinggal di kawasan luar bandar, pedalaman dan bandar besar akan disediakan melalui pembinaan kuarters baharu. Bilik – bilik darjah juga akan dibaik pulih bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan. Penempatan guru mengikut opsyen merupakan langkah yang amat bijak. Hal ini kerana, guru – guru akan lebih mudah berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih berkesan tentang masalah – masalah P&P dan sebagainya. Ini akan dapat meningkatkan tahap pencapaian murid sekaligus memartabatkan profesion keguruan.

Faktor yang terakhir dalam teras ke lima PIPPN ialah memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia. Hal ini bermaksud, sumber – sumber manusia seperti guru – guru baharu dan guru – guru pelatih akan disediakan dengan perancangan dan pengurusan yang mantap. Untuk itu pihak IPG akan mewujudkan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada IPTA mahupun IPTS tentang latihan guru Selain hal itu, sistem maklumat guru akan ditambah baik dan dikemas kini secara total dari semasa ke semasa secara komprehensif.

Selain peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan, pihak –pihak lain juga perlulah bekerjasama dan janganlah hanya memeluk tubuh dan asyik mengkritik langkah – langkah yang telah diambil kerajaan. Pihak guru itu sendiri perlulah melakukan anjakan paradigma dan memberikan sokongan yang padu atas apa sahaja usaha dalam memartabatkan profesion keguruan. Para guru perlulah berusaha untuk menyemai sifat – sifat seorang guru yang profesional serta menigkatkan tahap profesionalisme mereka. Antara sifat dan kualiti profesional seorang guru seperi yang telah digariskan oleh KPM ialah suka membaca, ingin tahu, kemahiran bertutur, daya ingatan, daya usaha dan pengetahuan ikhtisas. Selain hal itu, guru juga perlulah mengelakkan diri daripada melakukan perkara – perkara yang boleh mendatangkan imej buruk kepada profesionalisme keguruan. Mereka hendaklah menjaga tingkah laku mereka di mana sahaja mereka berada. Oleh hal yang demikian, usaha kerajaan untuk memartabatkan profesion keguruan tidak akan sia – sia kerana mendapat sokongan daripada para guru sendiri.

Kesimpulannya, segala usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak untuk memartabatkan profesion keguruan haruslah dipuji kerana pelaksanaannya bukanlah enteng. Oleh hal yang demikian semua pihak terutamanya pihak guru di Malaysia itu sendiri haruslah menyokong segala rancangan dan projek dalam usaha memartabatkan profesion keguruan kerana dalam zaman baharu ini profesion keguruan merupakan suatu profesion yang semakin mencabar. Ditambah lagi dengan para pelajar dan murid yang semakin matang dan maju dalam menongkah arus kehidupan yang serba maju dan moden sekarang. Justeru itu semua pihak haruslah memainkan peranan mereka agar usaha untuk memartabatkan profesion keguruan akan mencapai matlamatnya.

Aturannya Begitu

Makhluk

Usaha dan kehendak

semua lintah

dari semua daerah

kerah mengerah

mencari darah


semua belalang

dari banyak ladang
terbang melayang

mencari lalang

semua babun

dari banyak kebun

bertambun-tambun
mencari pisang bertimbun


semua manusia
dari banyak usia
berusaha sia
memanjang usia



Pemandu Fiksi


7 Dis 2008

Terjatuh Malu

Batu melulu

Ke aku

Terjatuh malu

Terjunam kaku

Tergamam lalu

Sakit hatiku

Pedih jiwaku

Tak tertanggung malu

Resah di kalbu


Pemandu Fiksi

8/12/08

Sunday 14 December 2008

Kota Tinggal Nama

Ketika kaki merayau-rayau
sekitar lorong di Bandar Hilir
ketika mata melilau-lilau tercari-cari
sejenak ku terfikir
benarkah wujud kota Melaka?
benarkah wujud Parameswara?
benarkah hidup si Bendahara Tepuk?
kalau wujud
mana pergi pelabuhannya?
mana hilang rumah bendaharanya?
mana lesap pelanduknya?
mana tenggelam tongkang-tongkang besarnya?
ketika kota venice bangga dengan Bellini, Zattere dan La Fenice
ketika kota paris megah dengan Eiffel, Lourve dan Napoleon
dan ketika kota istanbul gah dengan Hagia Sofia dan Kamal attaturk
mana dia kota Melaka
tak semena-mena
ku jumpa A Famosa
ku jumpa Stadhuys
ku jumpa gereja St. Paul
tapi itukah kota Melaka sebenar
bukankah kota Melaka itu kota Melayu
bukan kota Portugis
bukan kota Belanda
bukan kota Inggeris
lalu ku melangkah lagi
dengan langkah ingin tahu
ku cari kota Melaka
ku jejak Hang Kasturi
akhirnya ku jumpa
aku jumpa kota Melaka
dalam jiwa rakyat Melaka


Pemandu Fiksi
12/12/08

Wednesday 3 December 2008

Hikmah Penat

Menonton tv

depresi kepenatan yang melampau

hipokrasi yang kosong

kejujuran yang terserlah

celik mata akal

buta jiwa nafsu

dengan pasti

sang penat akan pupus

tapi akan lahir semula

pencetusnya sahaja yang berbeza

penat dan lelah tanda usaha kian menjadi

tanda doa kian termakbul

tanda restu terpatri di bibir

Pemandu Fiksi

11.16 malam

29 November 2008

Kg. Jawa, Segamat

Pemikir Kisah Lampau

Wahyu pertama
Bacalah dengan nama Tuhanmu wahai Muhamad
pemikir kisah lampau gemar membaca
ya dan tepat
membaca monolog hati dan fikiran moyang-moyangnya
membaca gerak hati mereka
membaca tindak tanduk mereka
membaca buku hati mereka
membaca, membaca dan membaca
agar tidak mengulangi silap yang serupa
agar ummah maju dan berdiri gah semula


Pemandu Fiksi
9.42 pagi
27 November 2008
Rumah batu 3, Kg. Jawa

Awan Hujan 2

Pagi yang dingin
nyaman
Anak-anak ayam sibuk mengekori ibunya
lapar . . .
Rezeki Tuhan dimana-mana anak ayam
carilah
Awan itu sudah tiada
Awan yang membawa rezeki Tuhan
semalam aku mengharapkan kau pergi
kini ku mengharapkan kau kunjung lagi

7.09 pagi
27 November 2008
Rumah Batu 3, Kg. Jawa

Tok Ayah

Petang ini aku keseorangan. Umi dan Baba tiada. Angah, Ude dan Alang pun tiada. Mereka semua ke rumah Tok Ayah. Dari tadi. Dari awal pagi lagi. Sebab apa aku tak tahu. Aku tak sempat nak menanya. Pagi tadi, awal-awal pagi lagi semasa aku tidur, mereka telah pergi. Hanya ada aku di rumah. Tiada Umi, tiada Baba, tiada Angah, tiada Ude dan tiada Alang. Jam loceng buruk yang hampir-hampir aku mahu buang itulah yang mengejutkan aku jam 10.00 pagi. Solat subuh? Dalam mimpi. Sudah sebulan aku tidak solat subuh. Alasannya hanyalah kerana Umi tidak mengejutkan aku. Umi dan Baba pagi-pagi lagi sudah ke rumah Tok Ayah. Angah, Ude dan Alang pun sama sahaja. Solat subuh entah ke mana.

Sejak Tok Ayah jatuh tangga sebulan yang lepas, Umi dan Baba kerap pergi ke rumah Tok Ayah. Hari-hari. Pagi-pagi buta lagi. Itu pun sejak sebulan yang lalu. Sebelum ini jarang sekali Umi dan Baba ke rumah Tok Ayah. Kalau pergi pun jika ada urusan. Kali terakhir Umi dan Baba ke rumah Tok Ayah ialah dua bulan yang lalu iaitu semasa kenduri arwah Nek Jah biarpun rumah kami dengan rumah Tok Ayah tak lah jauh mana. Tok Ayah memang sayangkan Nek Jah. Tiap-tiap tahun dia akan adakan kenduri arwah untuk Nek Jah. Bertuah Nek Jah punyai seorang suami yang mithali.

Tok Ayah memang sangat sayangkan Nek Jah. Walaupun mereka berkahwin atas arahan keluarga masing-masing, mereka tetap saling menyayangi sehingga akhir hayat Nek Jah dan sekarang. Masih kuingat lagi, tiap-tiap tahun semasa hari ulang tahun kelahiran Nek Jah, Tok Ayah akan membawa Nek Jah ke pekan. Makan-makan di Kedai Tok Salim. Kemudian jalan-jalan di Tanjong. Tok Ayah bawa payung, payungi Nek Jah daripada kepanasan terik mentari. Aduh . . . .Romantiknya Tok Ayah. Aku pernah lihat sekali. Masa itu aku baru berumur 9 tahun. Pagi-pagi Tok Ayah dah bawa Nek Jah naik kereta kataknya ke pekan. Petang-petang baru balik. Solat? Tok Ayah memang jaga solatnya. Setahu aku dia tak pernah tinggalkan solat. Tapi tak mengapa, kat pekan ada masjid. Tok Ayah dan Nek Jah boleh solat di sana.

Tok Ayah ada banyak kebun. Kebunnya berekar-ekar. Tanam durian, tanam betik, tanam tebu, tanam cempedak. Rumah sewanya berderet-deret. Hasil kebun getahnya pula memang banyak. Diupahnya anak-anak orang sini mengerjakan kebun-kebunnya. Tok Ayah memang baik. Sudahlah kaya, beriman, pemurah, Tok Ayah tak pernah lokek memberi sedekah. Kalau dia nampak fakir miskin mengemis di pekan, dia tak lokek menghulur kepada mereka. Mungkin kerana faktor wanglah Umi dan Baba hari-hari ke rumah Tok Ayah sejak Tok Ayah jatuh tangga. Mungkin membodek Tok Ayah. Manusia biasalah. Memang macam itu.

Bosan dan bosan. Tapi aku tak kisah. Aku dah biasa tinggal berseorangan ditemani hanya Raqib dan Atib. Ditemani hanya dengan laptop dan telefon bimbit pemberian Baba. Dikenyangi perut dengan hanya beberapa bungkus mee segera dan air suam yang sememangnya tersedia di dalam gerobok. Aku tak kisah. Aku sudah biasa. Kalau dulu aku selalu ke rumah Tok Ayah. Kalau bosan aku ke sana. Kalau lapar pun aku ke sana. Tok Ayah baik. Dia sangat baik. Baik terhadapku.

Kata orang dulu lain, sekarang lain. Betul dan memang tepat. Sejak dua tiga bulan yang lalu perangai Tok Ayah berubah. Bukan kerana kehilangan Nek Jah tapi kerana sebab yang aku tidak tahu. Nek Jah dah dua tiga tahun meninggal dunia. Tok Ayah semakin bersikap dingin dengan aku. Kalau aku membuat sesuatu yang tak kena dimatanya, aku terus dimarah oleh Tok Ayah. Kalau dulu aku selalu menerima wang jajan daripada Tok Ayah. Katanya duit kalau kita habiskan membeli makanan tak mengapa, jangan dihabiskan duit membeli bukan makanan. Katanya lagi kalau beli makanan perut kenyang. Sekarang Atok Ayah sudah lain. Lain daripada Tok Ayah yang dulu.

Kalau dulu Tok Ayah selalu bagi pesan kepada aku. Jangan buat itu, jangan buat ini. Jangan merokok macam dia. Jangan lawan cakap Umi. Jangan tinggalkan solat. Kalau dulu masa aku lepak-lepak di rumah Tok Ayah, Tok Ayah selalu suruh aku gulung rokok daun untuknya. Aku tak hisap, Tok Ayah yang hisap. Kalau tembakaunya habis Tok Ayah suruh aku beli di Kedai Parman. Kedai Parman dekat saja dari rumah Tok Ayah. Beberapa pelaung sampailah di Kedai Parman. Kalau menapak dalam beberapa minit saja.

Kalau dulu petang-petang Tok Ayah selalu bawa aku memikat burung. Aku tak suka memikat burung. Baba pun dah pesan jangan ikut sangat Tok Ayah itu tapi aku pergi juga sebab nak jaga hati Tok Ayah. Tok Ayah kesepian. Sejak pemergian Nek Jah. Cucunya yang lain pun jarang balik. Aiman, Surya, Mona, Abang Aim, Abang Zul, Kak Lily, Kak Hernia. Mereka tinggal jauh. Angah, Ude dan Alang pun jarang ke rumah Tok Ayah. Mereka tak kisah akan Tok Ayah. Ada ke tiada ke mereka tak kisah. Angah sibuk dengan butik bajunya di pekan. Ude sibuk dengan bengkel motosikalnya di pekan juga. Alang pula tak habis-habis berulang alik ke Johor Bahru menguruskan kedai kasut yang diusahakannya bersama rakannya. Katanya kalau dia tak pergi jenguk alamak lingkuplah kedainya. Tapi sejak Tok Ayah jatuh tangga sebulan yang lalu Angah, Ude dan Alang acap kali ke rumah Tok Ayah. Biarkanlah mereka. Masing-masing sudah besar. Sudah mumaiyiz. Sudah tahu membezakan mana yang baik mana yang buruk. Sudah baligh. Alang pun sudah bertunang dengan gadis Kulai.

Kalau dulu masa aku tidur di rumah Tok Ayah, tidur malam perlu selimut. Malam-malam sejuk. Datang subuh lagi sejuk. Lagi-lagi rumah papan. Tok Ayah selalu marah kalau buka kipas masa nak tidur. Katanya membazir. Tak elok sejuk-sejuk sangat. Subuh nanti lagi sejuk. Oleh sebab itu, Tok Ayah selalu suruh aku kencing dulu sebelum tidur, katanya nanti ngompol. Betul juga kata Tok Ayah. Tidur di rumah papan, malam-malam udaranya sejuk, kalau sejuk keraplah nak buang air kecil. Logik. Tok Ayah memang pandai. Tapi sekarang, malam-malam keadaannya panas. Hawanya panas. Udaranya kering. Subuh pun belum tentu sejuk. Kalau sejuk pun cukuplah dikatakan hanya nyaman. Aku pun dah jarang tidur di rumah Tok Ayah. Sejak perangai Tok Ayah berubah aku tak pernah bermalam di sana. Sejak sebulan yang lalu Umi dan Baba selalu suruh aku bermalam di rumah Tok Ayah. Aku tak mahu. Aku malas nak mengadap perangai Tok Ayah yang dah lain macam.

Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Aku lupa yang aku belum solat asar. Aku pun bingkas bangun mengambil wuduk dan menunaikan fardu asar. Dalam doaku, aku berharap yang Tok Ayah akan cepat sembuh. Sembuh penyakitnya dan kembali kepada perangainya yang normal. Aku jelak dengan perangainya sekarang. Fiilnya kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah dia dirasuk setan. Cepat marah. Cepat naik angin. Cepat mengamuk. Silap sikit mengamuk. Silap sikit memaki. Ya Rabbi apa kena dengan Tok Ayah ini. Aku mula membayangkan yang bukan-bukan fasal Tok Ayah. Mungkin dia telah disampuk ketika memikat burung semasa aku sudah tidak lagi menemaninya lagi pergi memikat burung. Mungkin dia terkena buatan orang yang dengki dengan kebaikan dan kemurnian hati Tok Ayah. Atau mungkin Tok Ayah mengalami depresi setelah sekian lama kehilangan Nek Jah. Tak mungkin! Tok Ayah bukan macam itu. Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbitku memanggil-manggil aku kerana ada panggilan menunggu. Aku bingkas bangun dari tikar sejadah dan ke ruang tamu menyambut panggilan tersebut. Rupa-rupanya Baba yang menelefon. Aku kaget dan tak terkata apa-apa. Hatiku sedih. Tok Ayah sudah tiada. Tok Ayah sudah mati.

Awan Hujan

Malam gelap
Rintik hujan
Hawa sejuk
Pergilah kau awan hujan
membawa rezeki Tuhanmu ke tempat lain

1.00pagi
27 November 2008
Rumah Batu 3, Kg. Jawa

Dosa Semalam


AKu berdosa
Malam tadi
Tak ku sangka
Tak ku duga
Mutiara sejernih kaca
Jatuh
Menimpa-nimpa atap genting
Tapi aku . . .
Tetap melakukan perbuatan itu
Berdosa
Dimarahi Tuhan
Ampuni aku wahai pemilik sekalian alam
Alam milik Engkau ini amat indah
Aku yang penuh dosa
Tak layak rasanya menikmati rahmat-Mu
Tak layak rasanya merasai kerangupan epal-Mu
Tak layak rasanya menghirup setitis dua air-Mu
Tak layak rasanya melihat panorama rekaan-Mu
Ampuni aku
AKu berdosa
Malam tadi
Tika butir-butir air jatuh berduyun-duyun ke atap genting
Aku . . .
Tetap melakukan perbuatan itu
Berdosa
Dimarahi Tuhan
Ampuni aku wahai pemilik sekalian alam
Ambillah aku
AKu tak mahu menambah pemberat di kiriku
Aku mahu pemberat di kananku
Aduh . . .
Aku berdosa


20 November 2008
Rumah Batu 3
Kg. Jawa, Segamat
9.30 pagi

Kurap Orang Melayu

Kurap orang Melayu

sememangnya

sudah lama bertahkta dan bermaharajalela

di Bumi warisan Parameswara ini

Pasti dan tidak dapat disangkal lagi

Semua orang tahu

Semua orang lihat

Semua orang dengar

dan

barangkali semua orang pernah rasa

Kurap orang Melayu

Ada banyak jenis

Pelbagai dan berbagai-bagai

Tak kira umur

Tak kira kasta

Tak kira dok mana

Tak kira loghat belah mana

Semua ada

Kurap orang Melayu

dari sekecil zarah

sampai sebesar batu

tetap dikira di sebelah kiri

bukan kanan

itu pasti

Kurap orang Melayu

menjadi-jadi

berdarah memanjang

bernanah

penuh ulat

Kurap orang Melayu

ubat?

ya

sangat perlu

aku pasti

Bukankah orang Melayu

ramai cendekiawannya

ramai pakar agamanya

ramai negarawannya

Itulah tujuan asal kejadian mereka

menjadi khalifah Tuhan di muka Bumi ini

di samping membantu orang lain

Ya

Orang lain

Orang-orang Melayu bukan kaummukah?

Wahai cendekiawan

Wahai pakar agama

Wahai negarawan

Apa tunggu lagi

bantulah

Mereka orang Melayu

Kamu pun

Kurap orang Melayu

Kamu mahu kurap itu teruk?

Kamu mahu mereka binasa ditelan kekurapan itu?

Kamu mahu mereka musnah begitu sahaja?

Kurap orang Melayu

Insyallah boleh diubati

Berusahalah

Pemandu Fiksi

11.22 malam

Rumah Batu 3

Kg. Jawa, Segamat

Tak Sepi

Jam 1.25 pagi
Tak ngantuk
Tak bosan
Tak sepi
Butir air yang jatuh menemani aku
Melayari internet
Meneroka pengalaman baharu



Pemandu Fiksi
1.26 pagi
2008
Rumah Batu 3, Kg Jawa

Berusaha Lagi !!!

Apa jadi kalau saya gagal ??
Apa jadi kalau saya kena ulang peperiksaan??
Apa jadi kalau saya kena buang???

Terang mata hati
Gelap mata hakiki
aduh..

Hipokrasi kepintaran yang melampau
Aku tak mahu sebegitu
Hakikat kegagalan daripada usaha yang tekad
Mungkin tiada rezeki
Mungkin itu bukan hak aku
Mungkin itu hak orang lain
Hak Sakinah dari Palestin
Hak Mahmood dari Ambon
Hak Blair Waldorf dari Michigan
Hak Che Kiah dari Kota Sarang Semut
atau hak Muzali dari Segamat


Aku hanya penumpang
penumpang yang epifit
bukan parasit
Menumpang secubit masa Tuhan untuk melihat keindahan alam ciptaan-Nya
Aduh..
Indahnya

Betul
Ini semua Duniawi
Pandangan mata memang menipu hakikat sebenar

Ya
dan aku tahu
sangat pasti

Aku hanya boleh berusaha
Hanya mampu berusaha
dan hanya cuba berusaha


Pemandu Fiksi
1:20 pagi
Jumaat, 14 November, 2008
c-0-14, Asrama IPTKL, Cheras

Birokrasi Banjir

Bah melanda
Dahsyat
Menokok tanpa disedari
dikit-dikit
Habis rumahku
Serinya hilang
Anggotanya rosak
Kulitnya kotor
Simpati..sedih
Terengganu menghulur tangan
Perak menghulur tangan
Melaka juga
Swasta juga
Di sini... mana tangan-tangan itu?
Orang atas yang urus
orang di disini usah khuatir
Allah ada
Keadilan pasti tegak
Sudah berjuta-juta saat
Ironinya
Tangan-tangan itu masih belum ke sini

Pemandu Fiksi
25 Januari 2008
37 hari selepas banjir di Segamat
1.00 pagi

Kenyataan

Ada yang mudah dihadam
Ada yang perit ditelan
Itu semua lumrah dunia
Tuhan bagi pilihan
Manusia yang pilih sendiri
Kadang-kadang
Nafsu melorong pilihan ke Jurang Mariana
Kadang-kadang pula
Nafsu melorong pilihan ke Puncak Everest
Itu semua mudah
Tuhan bagi pilihan
Manusia yang pilih
Agar kenyataan mudah diterima
Kadang-kadang
Ada kenyataan yang perit kita hadam
Namun amat mudah manusia lain telan
Itu semua psikologi
Pucuk pangkal agama
Agama mententeramkan jiwa
Agar tidak tersalah memilih pilhan yang diberi Tuhan
Agar kenyataan nanti menjadi benih
Benih-benih kegembiraan, keriangan, kesukaan
dalam hayat yang singkat ini



Bilik Warden Blok D,
Asrama SMTPJB.
(tumpang sementara, jadi fasi SMTP 2007)
Jam 5.34 petang
2007

USFTA

USFTA

Itulah manisan berintikan racun

Berhati-hati ye YB kalau berurusan dengannya

Janganlah kerana ianya manis bagai madu

Sepah dibuang, diketepikan buah fikirnya

YB, buah catur perlu diatur molek-molek

kerana nasib yang lain

di tangan kamu

positif, negatif

YB yang pilih

USFTA

di Korea laksana sampah

di Jepun dipandang sepi

di Malaysia?

YB yang pilih

dipandang hina atau mulia

Pemandu Fiksi

14 Januari 2008

Rumah Batu 3

Kampung Jawa

Chatting with Abah

When I was

in seventeen

My Abah

was telling me

That I could change these world

with my mind

It is depend on me

Positive or negative

Bad or good

Nice or worse

The bottom line is me

My mind

My soul

My hand

and the jet is

My SPM

Pemandu Fiksi

14 Januari 2008

Rumah Batu 3

Kg. Jawa

Kosong

Kosong

Ibarat kain putih

tanpa corak

tanpa warna

tanpa perasaan

itulah aku

Dahulu

Aku berwarna-warni

Penuh corak

Penuh hati

Penuh perasaan

Namun asid itu!

Melunturi aku

dikit-dikit

Wahai dunia

Warnai aku semula

dengan corakmu

dengan warnamu

dengan hatimu

dengan perasaanmu

Agar aku dapat membalas budimu

Asid itu perlu

dimusnahkan!

dihancurkan!

diremukkan!

dicampak jauh-jauh!

Agar tidak menggangu aku lagi

Agar tidak melunturi aku lagi

Asid itu!

Asid!

Asid Amerikanisasi!

Sial!

Pemandu Fiksi

11 Disember 2006

Rumah Batu 3

Kg. Jawa

8.30 malam